SHAH ALAM – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) melancarkan fungsi baharu ‘Pencarian Sekolah’ dalam laman sesawang CovidNow sebagai langkah peralihan ke fasa endemik.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, kemudahan itu memaparkan informasi mengenai tahap vaksinasi di sekolah-sekolah tertentu, sekali gus membantu pelajar serta kakitangan sekolah.
“Peralihan ke fasa endemik memerlukan ketelusan untuk memperkasakan semua masyarakat.
“Kami berharap ini memberi keyakinan dan keselesaan kepada ibu bapa dan guru.
“Buat masa ini, sekolah yang disenaraikan adalah sekolah KPM. Sekolah swasta boleh memilih dengan menghantar e-mel covidnow@moh.gov.my dengan subjek e-mel ‘COVIDNOW Inclusion,” katanya menerusi ciapan di Twitter beliau pada Ahad.