Home Koronavirus Peralihan ke endemik: Waspada, jangan ambil mudah

Peralihan ke endemik: Waspada, jangan ambil mudah

0
Peralihan ke endemik: Waspada, jangan ambil mudah

KUALA LUMPUR – Malaysia telah memasuki Fasa Peralihan ke Endemik sejak 1 April yang menyaksikan pembukaan semula banyak sektor dan aktiviti ekonomi serta kehadiran orang ramai.

Dengan peralihan ke endemik, sekatan dan prosedur operasi standard (SOP) yang sebelum ini dikenakan untuk membanteras penularan Covid-19 telah dilonggarkan, membuka jalan bagi kebanyakan aktiviti termasuk solat berjemaah yang diadakan seperti biasa.

Walau bagaimanapun, pakar kesihatan mengingatkan orang ramai agar tidak mengambil mudah perkara itu dan tidak mengurangkan risiko virus yang membawa maut yang masih berlegar dalam masyarakat.

Pakar Perubatan dan Penyakit Berjangkit Universiti Malaya (UM), Profesor Datuk Dr Adeeba Kamarulzaman ketika dihubungi mengingatkan rakyat Malaysia agar sentiasa memakai pelitup muka di mana sahaja mereka berada terutama di kawasan tertutup dan tempat terbuka yang sesak, seperti bazar Ramadan.

Beliau menambah virus SARS-CoV-2 (yang menyebabkan jangkitan Covid-19) kebanyakannya merebak melalui udara dan oleh itu, adalah penting bagi tempat tersebut untuk mempunyai sistem pengudaraan yang baik.

“Hotel yang menawarkan majlis berbuka puasa harus memastikan pengudaraan di dalam restoran dan ruang hotel adalah baik…

“Begitu juga di masjid dan surau, sebaiknya buka semua pintu dan tingkap,” nasihatnya.

Dr Adeeba turut menggesa individu yang layak agar memastikan dos inokulasi Covid-19 mereka adalah lengkap termasuk dos penggalak.

Pakar Kesihatan Pekerjaan, Kecemasan dan Kesihatan Awam, Dr Hanafiah Bashirun dari Hospital Kasih Cyberjaya pula berkata, setiap individu perlu menjaga kesihatan diri dan mematuhi tiga SOP asas iaitu memakai pelitup muka, menjaga penjarakan fizikal dan kerap mencuci tangan.

Menurutnya, ia adalah amalan perlu jika negara beralih ke fasa endemik sepenuhnya.

“Tidak kira jika fasa telah berubah, SOP pada dasarnya kekal, iaitu memakai pelitup muka, penjarakan fizikal dan kerap menggunakan sanitiser. Yang penting adalah kita mesti sentiasa mematuhi (SOP) kerana tujuannya adalah untuk mengurangkan risiko penularan Covid-19.

“Namun, jika kita benar-benar mahu beralih ke fasa endemik, maka kita mesti pandai menjaga diri dan mematuhi tiga SOP asas,” kata Dr Hanafiah.

Sementara itu, Pensyarah Kanan dan Ahli Epidemiologi dari Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Madya Dr Malina Osman berkata, peralihan ke endemik adalah fasa percubaan bagi memastikan kemasukan selamat ke fasa endemik penuh.

Beliau berkata, selain meneruskan usaha berterusan dalam vaksinasi, segala usaha dalam pematuhan SOP seperti yang disarankan Kementerian Kesihatan (KKM) memerlukan komitmen daripada semua individu dalam komuniti serta kerjasama daripada semua organisasi.

“Pemakaian pelitup muka, menjaga kebersihan tangan dan mengelakkan orang ramai harus sentiasa diamalkan apabila berada di kawasan awam,” katanya.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menasihatkan masyarakat agar terus berwaspada terhadap penularan Covid-19 dalam fasa peralihan ke endemik dengan terus memakai pelitup muka bagi mencegah jangkitan.

Beliau berkata, pemakaian pelitup muka adalah antara langkah pencegahan yang dapat mengurangkan penularan virus itu terutama di kawasan berisiko tinggi seperti tempat tertutup dengan pengudaraan yang kurang baik, tempat sesak dan tempat individu melakukan interaksi jarak dekat. – Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here