Home Koronavirus Perak sasar 22,390 orang divaksin setiap hari mulai Julai

Perak sasar 22,390 orang divaksin setiap hari mulai Julai

0
Perak sasar 22,390 orang divaksin setiap hari mulai Julai

LARUT – Kerajaan Perak menyasarkan seramai 22,390 rakyat negeri itu menerima suntikan vaksin setiap hari mulai bulan ini, kata Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau negeri, Mohd Akmal Kamarudin.

Beliau berkata, sasaran itu dijangka dapat direalisasikan dengan pembukaan enam lagi pusat pemberian vaksin (PPV) awam bulan ini menjadikan keseluruhan PPV awam di negeri ini sebanyak 22, selain sembilan PPV Khas di hospital dan 61 PPV swasta.

‘’PPV Awam Selama yang dibuka hari ini dapat menampung 400 orang setiap hari dan tiga lagi PPV yang dibuka semalam iaitu di Dewan Majlis Perbandaran Kuala Kangsar di Sungai Siput (400 orang), Dewan Merdeka Lenggong (400 orang) dan Dewan Inderawati di Beruas 600 orang sehari,” katanya pada Jumaat.

Bercakap kepada pemberita selepas melawat PPV Selama, Mohd Akmal berkata, dua lagi PPV akan beroperasi pada Isnin ialah Dewan Majlis Daerah Gopeng dan Dewan Besar Felcra Seberang Perak.

Mohd Akmal berkata, usaha juga perlu ditingkatkan bagi mempercepatkan pendaftaran vaksinasi orang ramai melalui aplikasi MySejahtera yang ketika ini hanya mencecah 64 peratus berbanding sasaran antara 70 dan 80 peratus.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, sebanyak 34 kes Malaria Monyet disebabkan gigitan nyamuk tiruk dilaporkan sepanjang tahun di negeri ini melibatkan orang asli di Kuala Kangsar, Hulu Perak, Kampar dan Batang Padang, namun tiada kes kematian dilaporkan setakat ini.

“Keadaan penyakit Malaria Monyet adalah masih terkawal di negeri ini. Jabatan Kesihatan Negeri dan Daerah sedang mengadakan kempen pencegahan penyakit itu kepada penduduk di kawasan berkenaan,” katanya.

Jangkitan malaria monyet atau nama saintifiknya Malaria Knowlesi dikategorikan sama bahaya dengan demam denggi dan boleh mengakibatkan kegagalan organ seperti buah pinggang, malah boleh membawa maut.

Mohd Akmal yang juga ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selama berkata, penduduk yang terlibat telah diberikan saringan kesihatan dan pencegahan bagi membendung penyakit itu.

Menurutnya, golongan yang berisiko menghidap penyakit itu adalah mereka yang terbabit dengan aktiviti memburu, berkhemah dalam hutan, tinggal di kawasan pinggir hutan dan kebun buah-buahan. – Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here