Home Koronavirus Perak buka tiga lagi PKRC

Perak buka tiga lagi PKRC

0
Perak buka tiga lagi PKRC

IPOH – Kerajaan negeri Perak dalam persediaan untuk membuka tiga lagi Pusat Rawatan Covid Risiko Rendah (PKRC) bagi menampung unjuran kes positif yang dijangka meningkat dalam tempoh dua hingga tiga minggu ini sepertimana dinyatakan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Noor Hisham Abdullah.

Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad berkata, lokasi PKRC berkenaan adalah di Kompleks Rakan Muda Taiping yang boleh menempatkan 780 katil, PKRC swasta di Virgo Hotel Manjung (200 katil) dan PKRC Insitut Latihan Statitik Malaysia, Sungkai (95 katil).

Menurut beliau, unjuran peningkatan kes sepertimana dinyatakan Ketua Pengarah Kesihatan sempena lawatan kerja rasmi ke Perak, Sabtu lalu perlu dilihat secara serius kerana ia berasaskan kepada kadar kebolehjangkitan yang direkodkan.

“Nampaknya telahan itu betul begitu (kes meningkat) dan tujuannya bukan untuk menakutkan tetapi sebagai peringatan.

“Jadi kerajaan negeri kenalah membuat persiapan, jangan nanti orang kata kita tak buat persediaan kerana persediaan itu penting.

“Selain menaik taraf PKRC sedia ada, terkini kerajaan negeri sedang dalam persediaan untuk membuka tiga PKRC baharu di Taiping, Manjung dan Sungkai. Tiga pusat ini akan dibuka bila tiba masa dan keperluannya (bergantung peningkatan kes),” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau Pusat Pemberian Vaksin (PPV) bagi Program Vaksin Perak (Silver Vax) di Hospital Ar Ridzuan di sini pada Khamis.

Pembukaan tiga PKRC itu adalah sebagai tambahan kepada tiga pusat kuarantin sedia ada di Perak iaitu di PKRC Arena Badminton Perak di Ipoh yang telah dinaik taraf dari kapasiti 479 kepada 520 katil; Kolej Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (ILKKM) Sultan Azlan Shah, Ulu Kinta (570 katil) dan PKRC khas Orang Asli di Kem PLKN Sinaran Suria Sungkai yang baru dibuka mulai 25 Julai lalu memuatkan 470 katil.

Dalam rangka lawatan kerja rasmi ke negeri ini minggu lalu, Noor Hisham meramalkan berlaku peningkatan kes Covid-19 memuncak dalam tempoh dua hingga tiga minggu lagi di Perak berikutan terdapat peningkatan kes sejak kebelakangan ini terutama melibatkan kes-kes kategori 4 dan 5 yang memerlukan rawatan kritikal.

Dalam perkembangan lain, Saarani berkata, program Silver Vax kendalian anak syarikat kerajaan negeri, Majuperak Holdings Berhad (MHB) tidak direka untuk menggantikan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) atau Program Imunisasi Industri Covid-19 Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS).

Katanya, program berbayar yang berfokuskan kepada syarikat swasta serta syarikat berkaitan kerajaan negeri (GLC) itu untuk menyokong usaha mempercepat kadar vaksinasi dalam kalangan penduduk Perak bagi membolehkan kerajaan negeri mencapai nilai ambang 40 peratus vaksinasi dan beralih ke Fasa 3 Pelan Pemulihan Negara (PPN).

“Janganlah nanti ada yang menuduh bahawa kita hanya pentingkan bisnes sahaja, program ini tidak mengambil kuota vaksin sedia ada untuk Perak, ia kepunyaan mereka sendiri sama seperti PIKAS.

“Mengambil kira peningkatan kes jangkitan Covid-19 kebelakangan ini, inisiatif ini dilihat penting bagi membantu mengurangkan penularan wabak di tempat kerja sekaligus dapat memperkuat dan melindungi rakyat Perak serta memulihkan semula sektor ekonomi negeri,” katanya

Beliau berkata, setakat 4 Ogos, sebanyak 200 syarikat swasta berlainan industri telah mendaftar di bawah program berkenaan dan seramai 564 kakitangan telah menerima vaksin dengan kadar bayaran RM388 seorang bagi dua dos suntikan vaksin Covid-19.

“Buat masa ini, program Silver Vax berlangsung sepenuhnya di Hospital Ar Ridzuan.

“Bagaimanapun, saya difahamkan, Majuperak juga mempunyai perancangan untuk melakukan proses vaksinasi di Bazar Ipoh yang akan melibatkan kapasiti pemberian vaksin sebanyak 600 orang sehari atau 18,000 orang sebulan,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here