LENGGONG – Kerajaan Negeri Perak telah membelanjakan lebih RM68.1 juta bagi segala keperluan dan urusan berhubung Covid-19 setakat Julai ini, kata Menteri Besar, Datuk Saarani Mohamad.
Beliau berkata, perbelanjaan tersebut meliputi RM46.2 juta yang melibatkan bantuan seperti edaran kotak makanan, keperluan petugas barisan hadapan, dan petugas di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) manakala RM21.9 juta pula menerusi Pakej Rangsangan Ekonomi Negeri (PREN).
“Berkaitan PREN contohnya, kita menyediakan bantuan kepada peniaga-peniaga yang nak kembali memulakan perniagaan, kita juga menyediakan moratarium kepada para peminjam kerajaan seperti Skim Rumah Insan Amanjaya (SRIA) dan mikro kredit.
“Kita juga telah beri moratorium kepada para penyewa premis pihak berkuasa tempatan (PBT). Jumlah keseluruhan semua bentuk PREN ini sehingga Jun yang lalu adalah RM21,930,767,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menyerahkan Bantuan Makanan Nelayan Darat Daerah Lenggong anjuran Jabatan Perikanan Perak di Pusat Pekasam Negara di sini pada Sabtu.
Selain itu, katanya, pihaknya tidak menolak kemungkinan bentuk bantuan akan bertambah selepas ini berikutan trend peningkatan bilangan pesakit Covid-19.
“Kita akan tambah, bergantung kepada (bilangan) kes sebab kita masih ada lagi peruntukan yang kita sediakan namun bagaimanapun kena tengok juga kepada keperluan-keperluan semasa,” katanya.
Sebelum itu, Saarani berkata, pihaknya dengan kerjasama Jabatan Perikanan Negeri Perak telah menyalurkan bantuan kotak makanan kepada 700 nelayan darat di seluruh negeri ekoran penularan wabak Covid-19.
“Para penerima merupakan golongan nelayan darat yang tersenarai sebagai penerima elaun sara hidup serta bergantung sepenuhnya kepada tangkapan harian untuk menyara keluarga masing-masing,” katanya. – Bernama