Home Koronavirus Penyelidikan vaksin negara di peringkat bukti konsep

Penyelidikan vaksin negara di peringkat bukti konsep

0
Penyelidikan vaksin negara di peringkat bukti konsep

KUALA LUMPUR – Usaha penyelidikan vaksin buatan negara masih di peringkat awal pembangunan iaitu bukti konsep (proof of concept), Dewan Rakyat diberitahu pada Isnin.

Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Ahmad Amzad Hashim berkata, bagi vaksin messenger ribonucleic acid (mRNA), aktiviti terkini adalah calon vaksin akan menjalani proses in-vitro transcription, melibatkan pelbagai ujian makmal yang kompleks.

“Seterusnya, aktiviti terkini berkaitan penyelidikan vaksin virus ternyahaktif adalah proses menyahaktif virus yang terpilih dan penambahan bahan khas iaitu adjuvan untuk meningkatkan tindak balas vaksin,” katanya di sini pada Isnin.

Beliau menjawab soalan Abdul Latiff Abdul Rahman (Pas-Kuala Krai) berhubung perkembangan terkini vaksin buatan negara jenis mRNA dan peruntukan RM5 juta bagi penyelidikan serta pembangunan (R&D) vaksin yang diberikan kepada Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Malaya (UM).

Mengulas lanjut, Ahmad Amzad berkata, penyelidikan vaksin Covid-19 jenis mRNA melibatkan penyelidik di Institut Penyelidikan Perubatan (IMR), sementara kerjasama antara IMR, Institut Penyelidikan Veterinar dan UPM melibatkan kajian berkaitan pembangunan vaksin teknologi virus ternyahaktif.

Beliau berkata, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) telah menyalurkan dana bagi membiayai dua projek melibatkan projek Construction of Recombinant Newcastle Disease Virus Expressing Receptor Binding Domain (RBD) Protein of Sars-Cov-2 Virus as a Vaccine Candidate di bawah UPM.

Di bawah UM pula, projek yang dibiaya ialah Development of Modular Mucosal Vaccine Platform Using Generally Regarded as Safe (GRAS) Bacteria Against Covid-19.

Kedua-dua projek ini katanya, melibatkan jumlah peruntukan sebanyak RM4.9 juta melalui geran MOSTI Combating Covid-19 Fund (MCCOF). – Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here