Home Koronavirus Penularan Covid-19 di Kolej Matrikulasi Gopeng terkawal

Penularan Covid-19 di Kolej Matrikulasi Gopeng terkawal

0
Penularan Covid-19 di Kolej Matrikulasi Gopeng terkawal

BAGAN SERAI – Penularan jangkitan Covid-19 melibatkan warga Kolej Matrikulasi Perak di Gopeng, sejak awal bulan ini adalah terkawal, kata Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali.

Beliau berkata, 365 kes telah dilaporkan melibatkan kesemua lima blok bangunan kolej itu sejak 7 Februari lalu dan tiada kes jangkitan baharu direkodkan sejak Ahad.

“Penularan itu dipercayai disebabkan pelajar yang baru pulang daripada cuti perayaan Tahun Baharu Cina selepas berjumpa dengan ramai orang.

“Bagaimanapun ia telah ditangani dengan baik oleh pihak Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Gopeng dan mereka yang positif diasingkan sejak dari awal di kuarters kakitangan dan bilik tamu,” katanya ketika ditemui pemberita selepas melawat Pusat Pemberian Vaksin Kanak-Kanak (PICKids) di Dewan Seri Selinsing, Gunung Semanggol di sini pada Isnin.

Beliau berkata, bagi mengelakkan penularan kes, pelajar tidak dibenarkan pulang ke rumah malah pelawat termasuk ibu bapa juga tidak dibenarkan memasuki kawasan kolej buat masa ini.

Selain itu, Dr Noor Azmi berkata, penambahan fasiliti turut dilakukan dengan penghantaran 100 unit katil oleh pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak dengan bantuan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan kakitangan kolej.

“Kita akan menambah bilangan katil sekiranya diperlukan dan setakat ini kesemua kes positif yang dilaporkan adalah kategori satu dan dua, cuma terdapat beberapa orang dimasukkan ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) atas sebab-sebab lain namun keadaan adalah terkawal,” katanya.

Ditanya mengenai dakwaan bahawa institusi pendidikan itu tetap melaksanakan sesi pembelajaran secara bersemuka walaupun ratusan kes jangkitan dilaporkan, Noor Azmi berkata, PKD Gopeng atas nasihat Kementerian Kesihatan (KKM) telah membuat pernilaian risiko terlebih dahulu sebelum membenarkan ia dijalankan.

“Penilaian risiko telah dibuat sama ada boleh atau sebaliknya kerana semua ini adalah dinamik, jadi pembelajaran secara bersemuka di kolej ini adalah hasil daripada penilaian risiko yang telah dibuat dan waris tidak perlu khuatir tentang perkara itu,” ujarnya.

Baru-baru ini beberapa pengguna media sosial Facebook memuat naik kenyataan mengenai kebimbangan mereka terhadap pelajar kolej itu dan ada antaranya mendakwa pihak kolej tetap mahu menjalankan sesi pembelajaran secara bersemuka walaupun ratusan kes jangkitan dilaporkan. – Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here