KUALA LUMPUR – Penglibatan pengamal perubatan am swasta (GP) pada masa hadapan akan dipertimbangkan dalam menjamin kesinambungan kepada Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) kerana tiada lagi Pusat Pemberian Vaksin (PPV) akan beroperasi pada waktu itu.
Menurut Pasukan Petugas Khas Imunisasi Covid-19 (CITF), keperluan untuk mengurangkan jumlah PPV di Lembah Klang termasuk penglibatan petugas GP wujud selepas Operasi Lonjakan Kapasiti selesai dilaksanakan bermula 26 Julai hingga 1 Ogos lepas untuk mengawal wabak Covid-19 di kawasan berkenaan.
Justeru, CITF memaklumkan, dakwaan penglibatan GP untuk PICK akan dihentikan adalah tidak tepat, sebaliknya hanya dipertimbang mengikut keperluan semasa.
“CITF amat menghargai perkhidmatan yang diberikan oleh GP dalam PICK, yang pastinya menyumbang kepada pencapaian negara mencatatkan kadar vaksinasi harian per kapita antara terpantas di dunia baru-baru ini.
“CITF mengambil kira pelbagai perkara dalam pengoperasian PICK seperti kapasiti PPV, bilangan individu yang perlu disuntik dan bekalan vaksin. Keperluan semasa seperti kawalan wabak juga mempengaruhi pelaksanaan PICK,” menurut CITF dalam kenyataan pada Ahad.
Kenyataan itu memaklumkan GP menyumbang lebih kurang lima peratus daripada keseluruhan suntikan yang diberikan sepanjang tempoh pelaksanaan Operasi Lonjakan Kapasiti.
Menurut CITF, setakat Sabtu, peratusan populasi dewasa Lembah Klang yang telah menerima sekurang-kurangnya satu dos adalah 107.7 peratus, termasuk vaksinasi yang diberikan kepada penduduk tanpa dokumen dan golongan bukan pemastautin.
“Lanjutan selesainya operasi ini, wujud keperluan untuk bilangan PPV di Lembah Klang dikurangkan, termasuk yang melibatkan para GP.
“Di Lembah Klang, setakat hari ini, 12 PPV telah ditutup dan dari 23 sehingga 29 Ogos, 21 PPV lagi akan ditutup. Daripada 32 PPV yang ditutup, tujuh adalah PPV Awam,” menurut kenyataan itu.
Dalam pada itu, CITF memaklumkan, keperluan baharu seperti dos penggalak, vaksinasi remaja (umur 12 hingga 17 tahun) serta vaksinasi berterusan untuk pendaftar baharu akan dimuktamadkan dari masa ke masa. – Bernama