Home Koronavirus Penggunaan katil di Hospital Melaka cecah paras kritikal

Penggunaan katil di Hospital Melaka cecah paras kritikal

0
Penggunaan katil di Hospital Melaka cecah paras kritikal

MELAKA – Melaka terpaksa menggunakan dua hospital daerah iaitu Hospital Jasin dan Alor Gajah untuk menampung pesakit Covid-19 susulan penggunaan katil di Hospital Melaka mencecah paras kritikal.

Exco Kesihatan dan Antidadah negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, kedua-dua hospital kerajaan tersebut mula beroperasi awal bulan ini selepas penggunaan katil Covid-19 di Hospital Melaka kini mencecah 91 peratus.

Menurutnya, setakat ini, sebanyak 400 katil daripada keseluruhan 444 katil untuk merawat pesakit Covid-19 telah dipenuhi, malah jabatan kecemasan dan trauma di Hospital Melaka terpaksa dijadikan lokasi penempatan sementara pesakit Covid-19 dengan pertambahan kepada 60 katil berbanding hanya 20 sebelum ini.

“Lokasi seperti tempat menunggu di jabatan kecemasan juga telah dijadikan wad, jadi setiap hari berlaku peningkatan kes dan itu kami paling bimbang.

“Sejak mula beroperasi, Hospital Jasin sedang merawat tujuh pesakit Covid-19 manakala Hospital Alor Gajah enam pesakit,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar selepas meninjau hari pertama pelaksanaan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) pandu lalu di Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM), Batu Berendam di sini pada Jumaat.

Dalam perkembangan lain, Rahmad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Molek berkata, Hospital Medan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan dibangunkan di Hospital Jasin dalam masa terdekat bagi menempatkan pesakit bukan Covid-19 selepas mendapat kelulusan pada mesyuarat sidang khas Majlis Keselamatan Negara (MKN), Khamis lalu.

Ujarnya, langkah itu bertujuan mengurangkan kepadatan katil di Hospital Melaka yang terpaksa diberi keutamaan kepada kes-kes berkaitan Covid-19 lebih-lebih lagi hampir keseluruhan ruang di Hospital Melaka telah digunakan untuk merawat pesakit Covid-19.

Menurutnya, segala kelengkapan bagi pengoperasian hospital medan itu telah tersedia dalam masa sama pihak kesihatan awam akan menyemak semula bilangan petugas-petugas di PPV awam bagi memobilisikan kakitangan kesihatan ke Hospital Medan ATM di Jasin.

“Bukan masalah peralatan tapi kita kekurangan kakitangan, contoh pendaftaran yang bukan klinikal, kami akan letakkan kakitangan awam lain,” katanya.

Pada Khamis lalu, kerajaan bersetuju meluluskan pembinaan Hospital Medan ATM di dua lokasi negara ini membabitkan Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang, Selangor dan di Melaka.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here