Home Koronavirus Pengguna merungut, kit ujian kendiri Covid-19 kurang di pasaran

Pengguna merungut, kit ujian kendiri Covid-19 kurang di pasaran

0
Pengguna merungut, kit ujian kendiri Covid-19 kurang di pasaran

KUANTAN – Pengguna di Pahang merungut apabila kit ujian kendiri Covid-19 semakin sukar diperoleh di pasaran sejak beberapa hari lalu.

Tinjauan Sinar Harian di beberapa kedai serbaneka dan farmasi komuniti mendapati bekalan kit ujian kendiri itu sudah habis dan mereka masih menunggu bekalan baharu.

Pekerja swasta, Mohd Fazli Wakiman, 46, mengakui berdepan kesukaran itu sejak beberapa hari lalu.

“Semalam (Khamis) enam kali saya keluar masuk kedai serbaneka dan farmasi semata-mata untuk membeli kit ujian itu tetapi semua rak yang menempatkan alatan terbabit kosong.

“Hari ini (Jumaat) saya cuba lagi mencari di beberapa farmasi dan berjaya membeli beberapa kotak untuk kegunaan seminggu,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di sebuah premis di Jalan Bukit Sekilau.

Mohd Fazli memaklumkan penggunaan kit ujian itu penting kerana selalu berurusan dengan orang ramai dan bimbang risiko virus Covid-19.

“Saya memang perlu menggunakan kit ujian di rumah jika ada simptom Covid-19,” katanya.

Penyelia ladang, Mohd Ramzul Aidil Kamarudin, 37, pula berkata, kerajaan sepatutnya memastikan barangan keperluan seperti kit ujian ini mencukupi.

Katanya, dalam fasa endemik semua rakyat perlu menggunakan kit ujian tersebut bagi mengetahui status Covid-19.

“Kit ujian ini memang wajib ada di setiap rumah. Pengguna sukar melakukan pemeriksaan jika kehabisan stok,” ujarnya.

Penuntut Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Melaka, Aiman Shahkirin, 19, membeli beberapa kotak kit ujian kendiri selepas berjaya menemui premis yang menjual kit itu.

Sementara itu, seorang ahli farmasi di Bandar Kuantan, Aishah Fatiha Abdullah, 44, berkata penambahan bekalan kit tersebut dilakukan dua kali seminggu berbanding sekali dalam tempoh tiga minggu sebelum ini.

Bagaimanapun katanya, bekalan itu habis dijual dalam tempoh yang singkat kerana permintaan semakin meningkat.

“Pelanggan lebih gemar mendapatkan kit ujian kendiri yang memerlukan sampel air liur kerana ia mudah digunakan berbanding jenis calitan sampel dalam hidung,” ujarnya

Seorang lagi pekerja di farmasi, Wan Syaza Ainaa Wan Salman, 28, mengakui berdepan kehabisan bekalan kit terbabit susulan permintaan tinggi daripada pengguna.

“Saya difahamkan pembekal turut berdepan dengan kesukaran mendapatkan bekalan. Jadi situasi ini menjadi penyebab terputusnya bekalan kit ujian kendiri Covid-19,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here