Home Koronavirus Pengesanan kes Covid-19 diteruskan di kawasan setinggan

Pengesanan kes Covid-19 diteruskan di kawasan setinggan

0
Pengesanan kes Covid-19 diteruskan di kawasan setinggan

LABUAN – Pengesanan kes aktif Covid-19 secara besar-besaran diteruskan di penempatan setinggan Kampung Saguking/Gersik hari ini sebelum bermulanya fasa dua Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang dijangka pada awal Ogos depan.

Langkah pengesanan kes itu ialah usaha Jawatankuasa Pengurusan Bencana Labuan (JPBD) bagi mengekang penularan Covid-19 di kawasan setinggan yang mempunyai ramai penduduk.

Pengerusi JPBD Rithuan Ismail berkata, ujian saringan akan dilakukan secara berperingkat memandangkan kawasan penempatan setinggan itu yang luas.

“Ujian saringan akan dijalankan selama dua hari yang melibatkan sekurang-kurangnya 1,800 ahli keluarga di 600 rumah kerana adalah penting untuk kami mengumpul sampel dari setiap ahli keluarga,” katanya kepada Bernama pada Sabtu.

Tahun lepas, Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) telah dikenakan di kawasan penempatan setinggan dari 21 Oktober hingga 3 November susulan peningkatan kes positif dan sejumlah 8,062 penduduk di sana terjejas.

“Kami tidak boleh membiarkan mereka yang tidak menjalani ujian saringan untuk bekerja dan berinteraksi dengan penduduk tempatan di pusat bandar, kami akan berusaha sedaya mungkin untuk mengurangkan jumlah kes harian dengan langkah sekatan yang lebih ketat,” katanya.

Beliau berkata, pengesanan kes itu adalah kesinambungan usaha jawatankuasa tersebut selepas langkah serupa dilakukan di dua kawasan yang menempatkan pelarian iaitu Kampung Muslim dan Kiamsam baru-baru ini.

Labuan menyaksikan trend penurunan jumlah individu diuji positif Covid-19 dengan hanya 22 kes baharu dicatat pada Sabtu. -Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here