Home Koronavirus Pengembara terima vaksin Covid-19 perlu jalani kuarantin wajib

Pengembara terima vaksin Covid-19 perlu jalani kuarantin wajib

0
Pengembara terima vaksin Covid-19 perlu jalani kuarantin wajib

PUTRAJAYA – Pengembara yang telah menerima vaksin Covid-19 tidak terkecuali daripada keperluan untuk mematuhi langkah pencegahan yang ditetapkan termasuk menjalani kuarantin wajib, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada 12 Mac lepas memutuskan bahawa penilaian risiko perlu dilaksanakan terhadap pengembara yang telah mendapat imunisasi Covid-19 yang lengkap, selain Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) belum lagi mengesyorkan vaksin Covid-19 boleh digunakan sebagai pasport imuniti bagi sebarang perjalanan.

Sebagaimana sedia maklum, katanya, kebanyakan negara yang mempunyai akses kepada bekalan vaksin Covid-19 telah memulakan pemberian imunisasi vaksin kepada rakyat masing-masing sejak penghujung tahun lalu.

“Namun begitu, lebih banyak maklumat dan kajian diperlukan bagi melihat kesan vaksin Covid-19 seperti dalam mengurangkan penularan jangkitan oleh penerima vaksin dan tempoh imuniti seseorang yang telah menerima vaksin,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Kenyataan itu dikeluarkan merujuk kepada isu yang tular dalam media sosial berkaitan permohonan untuk kuarantin di tempat kediaman dan pengecualian kuarantin di stesen kuarantin bagi pengembara yang tiba dari luar negara.

Dr Noor Hisham berkata, pengembara boleh memohon untuk pengecualian kuarantin di stesen kuarantin dengan beberapa kriteria diguna pakai dalam penilaian risiko bagi membolehkan mereka diberi kelonggaran.

Kriteria itu termasuk bukti telah mengambil vaksin Covid-19 yang lengkap; pengembara dari negara yang berisiko rendah; mempunyai tempat kediaman yang bersesuaian untuk pelaksanaan kuarantin termasuk tiada risiko pendedahan jangkitan kepada ahli keluarga atau individu serumah; dan keputusan ujian pengesanan Covid-19 yang negatif.

“Pengembara yang memenuhi kriteria tersebut boleh diberi kelonggaran untuk menjalani perintah kuarantin wajib di tempat kediaman namun tertakluk kepada syarat kuarantin yang ditetapkan oleh kerajaan semasa dalam tempoh kuarantin bagi memastikan jangkitan Covid-19 tidak menular kepada orang lain,” katanya.

Menurutnya, seramai 61,931 pengembara telah pulang ke Malaysia dalam tempoh 1 Januari hingga 27 Mac lepas dengan 61,462 orang dikuarantin wajib di stesen kuarantin; 409 orang kuarantin wajib di tempat kediaman; 31 orang kuarantin di hospital; dan 29 orang adalah Short Term Business Travellers (STBT).

“Dalam tempoh itu juga sebanyak 2,743 permohonan untuk kuarantin di tempat kediaman dan pengecualian kuarantin di stesen kuarantin telah diterima dengan 409 permohonan diluluskan untuk menjalani kuarantin wajib di tempat kediaman,” katanya.

Permohonan yang diluluskan termasuklah 138 orang disebabkan masalah kesihatan; 109 orang adalah penjaga kepada pengembara yang mengalami masalah kesihatan; 14 orang mempunyai sejarah positif Covid-19; 14 orang di bawah Pengaturan Ulang Alik Berkata (PCA)/Laluan Hijau Timbal Balik (RGL).

Dalam pada itu, katanya, seramai 285 orang daripada jumlah keseluruhan permohonan itu telah diberi pelepasan masa untuk menziarahi ahli keluarga yang sakit atau menghadiri pengebumian ahli keluarga.

“Bagi mereka yang memohon untuk melawat ahli keluarga yang sakit atau menghadiri pengebumian ahli keluarga, pengembara dalam pengawasan (PUS) akan diberi pelepasan masa dan perlu kembali semula ke stesen kuarantin untuk memenuhi tempoh wajib kuarantin,” katanya.

Beliau berkata, semua PUS tersebut dikehendaki mematuhi SOP yang ketat oleh KKM semasa tempoh ziarah atau lawatan itu dan kenderaan serta pengiring untuk lawatan tersebut diuruskan di stesen kuarantin oleh pihak Agensi Pengurusan Bencana Negara melalui Angkatan Pertahanan Awam (APM).

Dr Noor Hisham memaklumkan yang pengembara PUS yang sedang menjalani kuarantin adalah berisiko untuk menularkan jangkitan kepada orang yang berada di sekitarnya.

Berdasarkan pemantauan Pusat Kesiapsiagaan dan Respons Krisis Kebangsaan (CPRC), terdapat 27 kluster Covid-19 yang melibatkan kes indeks dalam kalangan pengembara yang tiba dari luar negara dengan 2,019 kes positif dilaporkan dalam tempoh 4 Mac 2020 sehingga 26 Mac lepas.

“KKM akan terus memantau perkembangan kejadian jangkitan Covid-19 dalam dan luar negara di mana saringan jangkitan penyakit ini dalam kalangan pengembara dari luar negara turut diteruskan di semua Pintu Masuk Antarabangsa Malaysia,” katanya.

Kerajaan menetapkan semua pengembara perlu menjalani perintah kuarantin wajib di stesen kuarantin, sama ada secara percuma bagi warganegara atau dengan pembayaran sendiri oleh bukan warganegara, mulai 3 April 2020 sehingga 9 Jun 2020.

Selepas itu, mulai 10 Jun hingga 23 Julai 2020, PUS warganegara telah dibenarkan kuarantin di tempat kediaman, manakala tiada perubahan arahan bagi bukan warganegara.

Bagaimanapun, terdapat insiden PUS warganegara yang sedang menjalani perintah kuarantin wajib di tempat kediaman melanggar perintah seperti makan di luar, membeli belah di pasar raya dan ada juga yang memotong sendiri gelang pengawasan mereka.

Ekoran itu, kerajaan telah mewajibkan semula PUS warganegara menjalani kuarantin di stesen kuarantin dengan bayaran sendiri mulai 24 Julai 2020 sehingga kini. – Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here