Home Koronavirus Penerima vaksin tidak ikut masa ditetapkan punca PPV sesak

Penerima vaksin tidak ikut masa ditetapkan punca PPV sesak

0
Penerima vaksin tidak ikut masa ditetapkan punca PPV sesak

SEREMBAN – Penerima suntikan vaksin Covid-19 di Negeri Sembilan dinasihatkan supaya hadir ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) mengikut tarikh dan masa yang ditetapkan sahaja.

Exco Kesihatan, Kepenggunaan dan Alam Sekitar Negeri Sembilan, S Veerapan berkata, ini berikutan berlaku kesesakan luar kawal yang terjadi di PPV Hospital UCSI Bandar Springhill di Port Dickson, sehingga tular di media sosial.

Kata Veerapan, pihaknya dimaklumkan mengenai perkara tersebut, namun hal itu di luar kawalan pihak pengurusan PPV Hospital UCSI.

“Memang betul gambar yang tular di media sosial semalam (Ahad), keadaan terlalu sesak disebabkan mereka datang tidak mengikut masa yang ditetapkan.

“Penerima tidak ikut masa, semua hadir serentak pada sebelah pagi menyebabkan keadaan sukar untuk dikawal.

“Apabila pihak pengurusan memaklumkan bahawa berlaku kesesakan di bahagian dalam, tetapi mereka masih enggan berganjak dan masih mahu menunggu, serta meminta untuk membuka pagar bagi membolehkan mereka beratur,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Sehubungan dengan itu, Veerapan meminta kepada semua masyarakat agar terus peka dengan situasi yang berlaku.

Katanya, vaksin yang diperuntukkan di semua PVV adalah mencukupi, orang ramai tidak perlu berebut dan datang mengikut masa yang telah ditetapkan.

“Kita tidak mahu wujud kluster di PPV UCSI pula, jadi patuhilah segala arahan yang dikeluarkan. Jangan terburu-buru kerana vaksin kita mencukupi dan memang cukup untuk semua penerima yang telah menerima janji temu,” katanya.

Pada Ahad, tular di media sosial mengenai kesesakan yang berlaku di PPV Hospital UCSI Bandar Springhill menyebabkan orang ramai terpaksa berpanas dan beratur panjang sehingga ke pekarangan luar hospital.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here