Home Koronavirus Penduduk lari PKPD, 106 rumah flat kosong

Penduduk lari PKPD, 106 rumah flat kosong

0
Penduduk lari PKPD, 106 rumah flat kosong

GOMBAK – Sebanyak 106 unit rumah di Flat Taman Samudera Timur, di sini yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) didapati kosong.

Ahli Majlis, Majlis Perbandaran Selayang (MPS) Zon 5, Ruhanah Masruki berkata, angka tersebut diperoleh melalui ahli jawatankuasa Zon 5 yang melakukan bancian dari rumah ke rumah bagi tujuan mendapatkan data bilangan isi rumah.

Menurutnya, bancian ke atas 630 rumah di enam blok Flat Taman Samudera Timur tersebut selesai pada Rabu lalu iaitu hari keempat pelaksanaan PKPD di kawasan itu.

“Bancian mendapati 523 unit berpenghuni, 106 unit kosong dan satu unit disenarai di bawah KIV (simpan dalam perhatian) kerana enggan memberikan kerjasama.

“Data ini akan digunakan untuk edaran keperluan makanan asas dan juga pelaksanaan saringan sepanjang tempoh pelaksanaan PKPD yang dijadual tamat pada 31 Julai,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.MPS

Katanya, dipercayai unit kosong ini disebabkan penghuninya bertindak melarikan diri bagi mengelak menjalani PKPD.

“Hal ini dapat dilihat melalui jumlah kenderaan kerana kawasan ini padat penduduk namun jumlah kenderaan berkurang semasa PKPD.

“Tindakan penghuni yang enggan menjalani PKPD ini jelas melanggar perintah dan merisikokan penduduk yang telah ikuti prosedur saringan dan divaksin,” katanya.

Bagaimanapun katanya, isu tersebut setakat ini belum dibincangkan dalam mesyuarat jawatankuasa PKPD yang banyak menumpukan kepada soal penyediaan keperluan asas dan bantuan lain.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebelum ini memaklumkan Taman Samudera, Mukim Batu, Gombak antara 24 lokaliti dikenakan PKPD berkuatkuasa 18 hingga 31 Julai.

Dianggarkan 3,000 penduduk di Flat Taman Samudera Timur itu menjalani PKPD susulan peningkatan kes Covid-19 di kawasan tersebut.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here