Home Koronavirus Penduduk Labuan telah divaksin digesa terus patuhi SOP

Penduduk Labuan telah divaksin digesa terus patuhi SOP

0
Penduduk Labuan telah divaksin digesa terus patuhi SOP

LABUAN – Orang ramai perlu terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) walaupun mereka sudah lengkap menerima suntikan vaksin Covid-19, kata Pengarah Jabatan Kesihatan Labuan, Dr Ismuni Bohari.

Beliau berkata, hal ini kerana masih terdapat risiko mereka mungkin dijangkiti dan menjangkiti sesetengah ahli keluarga terutama yang berumur di bawah 18 tahun serta belum divaksin.

“Ahli komuniti tempatan yang telah divaksin perlu terus mematuhi SOP Covid-19… berganding bahu bersama dengan petugas kesihatan dalam mematuhi nasihat serta SOP berkaitan sekatan pergerakan dan aktiviti sosial,” katanya kepada Bernama pada Rabu.

Dr Ismuni juga berkata, meskipun telah mencapai sasaran imuniti kelompok dalam kalangan penduduk dewasa dan beralih ke Fasa Empat Pelan Pemulihan Negara (PPN), pulau bebas cukai itu masih terdedah kepada jangkitan kerana terletak berhampiran sempadan Sabah dan Sarawak yang masih bergelut dengan peningkatan kes positif.

“Selain itu, Labuan sebagai hab minyak dan gas terus menerima kemasukan kru kapal di peringkat domestik serta antarabangsa, oleh itu adalah mustahak semua pihak sentiasa berwaspada dengan kemungkinan jangkitan di sekeliling kita,” katanya.

Beliau turut memberi amaran bahawa Wilayah Persekutuan itu boleh kembali berdepan waktu sukar ketika merekodkan lebih 8,000 kes positif dalam tempoh tiga bulan dengan 140 kematian.

“Pasukan petugas kesihatan kita masih belum boleh berehat… kami perlu melakukan pemantauan ke atas program kesedaran SOP berkaitan Kediaman Bebas Covid-19,” katanya.

Dr Ismuni juga meminta orang ramai yang belum menerima vaksin agar berbuat demikian secepat mungkin susulan terdapat lima kes baru-baru ini membabitkan ahli keluarga yang belum divaksin.

“Kami harap pengusaha perniagaan hanya membenarkan pelanggan yang sudah divaksin memasuki premis mereka kerana pemantauan (berhubung status vaksinasi pelanggan) tidak dapat dilakukan 24 jam sehari,” katanya.

Sebanyak 98.39 peratus atau 67,399 penduduk dewasa di Labuan telah melengkapkan suntikan vaksin Covid-19 mereka setakat Selasa. – Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here