NEW YORK – Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres memberitahu Forum Ekonomi di Davos, Switzerland yang bersidang secara maya pada Isnin bahawa dunia mesti memberikan vaksin Covid-19 kepada penduduk di planet ini.
Menurutnya, ia bagi memastikan terdapat ‘jalan keluar’ bagi mengatasi wabak itu.
“Jika kami gagal, kami menyebabkan timbulnya varian baharu yang merebak merentasi sempadan dan menyebabkan kehidupan harian serta ekonomi terhenti,” katanya.
Guterres berkata. masyarakat antarabangsa perlu menghadapi wabak tersebut dengan saksama dan adil.
Beliau menyatakan bahawa Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melancarkan strategi pada musim luruh lalu untuk memvaksinkan 40 peratus daripada populasi planet ini pada akhir tahun 2021 dan 70 peratus lagi menjelang pertengahan tahun ini.
“Kami tidak mendekati sasaran ini,” kata Guterres kepada Forum Ekonomi Dunia itu.
Menurutnya, kadar vaksinasi di negara berpendapatan tinggi adalah tujuh kali lebih tinggi daripada di negara-negara Afrika.
Guterres berkata, syarikat farmaseutikal harus bersatu dengan negara membangun dengan berkongsi lesen, pengetahuan dan teknologi bagi membolehkan jalan keluar dari wabak tersebut dapat dicari – Agensi