Home Koronavirus Pemberian vaksin CanSino mudahkan penduduk

Pemberian vaksin CanSino mudahkan penduduk

0
Pemberian vaksin CanSino mudahkan penduduk

TANJUNG MALIM – Pemberian vaksin Covid-19 dos tunggal CanSino di Sabah bakal memudahkan proses vaksinasi penduduk negeri itu terutama di pedalaman yang sebelum ini dibelenggu dengan masalah logistik dan perhubungan.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Arthur Joseph Kurup berkata, bekalan vaksin jenis itu merupakan satu kelebihan kerana penerima tidak perlu berulang-alik untuk mendapatkan dos kedua.

“Bekalan vaksin jenis ini akan memudahkan proses vaksinasi bagi penduduk Sabah terutamanya yang tinggal di kawasan pedalaman. Petugas Kementerian Kesihatan (KKM) di pusat pemberian vaksin (PPV) juga tidak perlu bergerak jauh sebanyak dua kali ke kawasan terpencil bagi memberikan vaksin.

“Sebelum ini, antara masalah penduduk untuk menerima vaksin adalah faktor logistik dan perhubungan. Ia juga menyebabkan kadar pendaftaran di Sabah antara yang paling rendah di Malaysia,” katanya selepas menyerahkan bantuan bakul makanan kepada pelajar Sabah di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di sini pada Ahad.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pensiangan berkata usaha kerajaan Persekutuan memberi keutamaan kepada Sabah untuk menerima vaksin itu dapat meningkatkan kadar imunisasi rakyat di negeri berkenaan sekali gus mengekang penularan pandemik Covid-19.

Sementara itu, mengulas mengenai pemberian bantuan bakul makanan itu, beliau berkata ia diberikan kepada pelajar Sabah di UPSI yang tidak dapat pulang ke kampung halaman pada cuti semester kali ini atas faktor-faktor tertentu.

Beliau difahamkan terdapat kira-kira 200 pelajar Sabah yang tidak dapat pulang ke kampung halaman dan berharap bantuan itu dapat meringankan beban mereka selain mengurangkan pergerakan ketika pandemik ini.

Seorang pelajar, Rolende Prem, 21, yang berasal dari Beaufort meluahkan rasa gembira menerima sumbangan bakul makanan tersebut apabila hampir dua tahun tidak dapat pulang ke kampung.

“Capaian Internet di kawasan kampung yang sedikit lemah dan masalah kewangan menyebabkan hampir dua tahun saya tidak pulang berjumpa ibu dan ayah, namun dengan bantuan ini, ia dapat membantu pelajar Sabah yang terkandas di UPSI,” katanya.

Sebelum ini Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, Sabah antara negeri terawal yang akan menerima vaksin dos tunggal CanSino apabila Malaysia dijadualkan menerima tiga juta bekalan vaksin berkenaan bulan depan. – Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here