ALOR SETAR – Pemberian dan pelepasan digital HSO ataupun arahan pemantauan di rumah (HSO) secara digital untuk kes positif dan kontak rapat akan dilaksanakan melalui aplikasi MySejahtera bagi semua daerah di Kedah.
Melalui kenyataan dikeluarkan Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Kedah, individu terlibat tidak perlu hadir untuk pemakaian gelang pengawasan.
Katanya, individu positif Covid-19 kategori 1 (tiada gejala), 2A (gejala ringan) dan tidak berisiko tinggi (60 tahun ke bawah dan tidak mempunyai sebarang komorbid) tidak perlu hadir ke Pusat Penilaian Covid-19 (CAC).
“Semua kes positif akan disiasat dan mengenal pasti kontak rapat dengan digital HSO bagi semua daerah di negeri Kedah bagi kes positif dan kontak rapat dilakukan melalui aplikasi MySejahtera.
“Kontak rapat tiada gejala juga tidak perlu hadir ke CAC dan tidak perlu lakukan ujian pengesanan Covid-19, yang mana mereka akan diberikan HSO digital dan hanya perlu jalani kuarantin di kediaman,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Menurutnya, pemantauan kendiri dilaksanakan melalui MySejahtera dan pelepasan digital HSO akan diberikan setelah tamat tarikh kuarantin tanpa ujian ulangan sekiranya tiada gejala.
Tambahnya, senarai kes-kes positif dan kontak rapat ini akan dikongsikan dengan pihak PDRM untuk membantu pemantauan pematuhan HSO di rumah masing-masing.
“Dedicated Digital HSO melalui aplikasi MySejahtera di peringkat negeri dan daerah diwujudkan untuk memastikan pelaksanaan pemberian digital dan pelepasan digital HSO ini berjalan dengan lancar,” katanya.
Katanya, masyarakat diseru memuat turun dan menggunakan aplikasi MySejahtera agar pelaksanaan digital HSO dan pemantauan kendiri melalui aplikasi MySejahtera dapat dilaksanakan kepada kes positif dan kontak rapat.
Ujarnya, kesesakan kes tanpa gejala dan gejala ringan di CAC dapat dikurangkan melalui aplikasi digital HSO dan tumpuan penilaian dapat diberikan kepada kes positif yang memerlukan mengikut kriteria yang ditetapkan
“Bagi individu tidak mempunyai MySejahtera dikehendaki datang ke Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) atau klinik kesihatan untuk pemberian HSO secara manual dan pemakaian gelang pengawasan.
“Pemantauan harian kes akan dilakukan oleh team CAC daerah melalui panggilan telepon dan sistem sedia ada,” katanya.