Home Koronavirus Pelaksanaan darurat kesihatan berkesan bantu tangani Covid-19

Pelaksanaan darurat kesihatan berkesan bantu tangani Covid-19

Pelaksanaan darurat kesihatan berkesan bantu tangani Covid-19

SHAH ALAM – Keputusan kerajaan untuk melaksanakan perintah darurat kesihatan didapati membantu pentadbiran negara untuk menangani penularan wabak Covid-19 dengan lebih baik.

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, kesan tersebut dapat dilihat apabila tiga ordinan yang diluluskan oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah didapati memberikan impak yang membolehkan kerajaan menangani pandemik Covid-19 dengan lebih berkesan.

“Proklamasi darurat kesihatan yang dijalankan telah menampakkan hasilnya dengan Yang di-Pertuan Agong telah memasyhurkan tiga ordinan yang memberikan impak yang membolehkan kerajaan menangani wabak Covid-19 dengan lebih berkesan,” katanya menerusi satu hantaran di Facebooknya pada Isnin.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai ucapan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada majlis Amanat Perdana Setahun Malaysia Prihatin yang berlangsung pada pagi Isnin.

Dalam ucapan tersebut, Muhyiddin berkata, tidak ada satu pun daripada ordinan darurat yang telah dimasyhurkan itu bertujuan bagi membolehkan perdana menteri kekal berkuasa selama-lamanya.

Jelas Muhyiddin, sejak darurat berkuatkuasa, Seri Paduka Baginda telah memasyhurkan tiga ordinan iaitu Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021, Ordinan Darurat (Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja) (Pindaan) 2021 dan Ordinan Darurat (Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit) (Pindaan) 2021.

Pada masa sama, Ahli Parlimen Pagoh itu turut mengulangi pendiriannya dengan menyatakan bahawa beliau akan menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk membubarkan Parlimen selepas pandemik Covid-19 dapat diatasi.

Abdul Hadi berkata, pelaksanaan perintah darurat yang dilaksanakan adalah selaras dengan prinsip demokrasi yang diamalkan di Malaysia tanpa disalah gunakan untuk mengekalkan jawatan perdana menteri.

Dalam kenyataan sama, Ahli Parlimen Marang itu menyatakan sokongannya terhadap usaha yang dilakukan Muhyiddin dalam memastikan kemajuan dan daya saing ekonomi negara serta terhadap usaha membendung wabak Covid-19 melalui Pelan Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.

Menurutnya, langkah kerajaan dalam membantu kumpulan rentan yang kehilangan pendapatan, sokongan kepada perniagaan terutamanya yang tidak dapat beroperasi sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan adalah sesuatu yang amat dihargai.

“Berikan ruang ini kepada kerajaan Perikatan Nasional supaya dapat menumpukan sepenuh perhatian kepada usaha mengawal penularan wabak Covid-19.

“Saya juga mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada seluruh petugas barisan hadapan yang bertungkus-lumus untuk melindungi rakyat Malaysia sejak setahun yang lalu.

“Marilah kita semua memanjatkan doa supaya wabak Covid-19 ini terhapus daripada bumi Malaysia yang tercinta ini,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here