BATU GAJAH – Tiada keperluan untuk memberi suntikan vaksin Covid-19 kepada pelajar Tingkatan Lima yang akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada Februari dan Mac tahun hadapan.
Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata, Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) menggariskan hanya individu yang berusia 18 tahun ke atas dibenarkan untuk mendapatkan suntikan.
“Mereka perlu menunggu tahun hadapan apabila mencapai usia 18 tahun. Fokus kini adalah tertumpu fasa kedua yang melibatkan warga emas, kumpulan rentan dan orang kurang upaya (OKU).
“Ia termasuk kes-kes yang terpaksa ke luar negara untuk belajar atau bekerja. Program diteruskan hingga fasa ketiga melibatkan kumpulan berusia 18 tahun ke atas.
“Untuk pelajar SPM, sekarang belum lagi,” katanya kepada pemberita selepas melawat Pusat Pemberian Vaksin di Dewan Bandaran Kinta di sini pada Jumaat.
Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai kebimbangan ibu bapa terhadap keselamatan anak-anak mereka yang bakal menduduki peperiksaan SPM pada tahun 2022.
Dr Noor Azmi berkata, negara akan menerima 6.8 juta dos vaksin Pfizer-BioNtech dan Sinovac bagi mempercepatkan proses vaksinasi.
“Kita menunggu dos secara berperingkat yang mana 4.6 juta dos Sinovac dari China dan Pharmaniaga yang akan tiba bulan ini.
“Pada masa sama, negara akan terima 2.2 juta dos Pfizer-BioNtech. Setakat ini, bekalan vaksin mencukupi dan lebih banyak vaksin akan diberikan mengikut jadual,” katanya.