Home Koronavirus Pekerja asing di Lembah Klang boleh ‘walk in’ vaksinasi mulai Isnin

Pekerja asing di Lembah Klang boleh ‘walk in’ vaksinasi mulai Isnin

0
Pekerja asing di Lembah Klang boleh ‘walk in’ vaksinasi mulai Isnin

KUALA LUMPUR – Program vaksinasi Covid-19 akan dibuka kepada pekerja bukan warganegara semua sektor di Lembah Klang bermula Isnin ini (27 September) sehingga 6 Oktober (Rabu) sama ada secara janji temu atau jumpa terus.

Menurut Pasukan Petugas Khas Imunisasi Covid-19 (CITF) pemberian vaksin kepada golongan tersebut dijalankan di pusat pemberian vaksin (PPV) Pusat Konvensyen Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB), Jalan Cheras di sini mulai jam 9 pagi hingga 6 petang.

“Selari dengan penumpuan kepada usaha mop-up atau mencari golongan tercicir yang belum menerima suntikan vaksin COVID-19 di Lembah Klang, CITF mengambil beberapa ketetapan baharu sebagai kesinambungan kepada usaha pemvaksinan kepada bukan warganegara yang bekerja di Lembah Klang bawah seliaan CIDB,” menurut kenyataan itu pada Khamis.

Menurut kenyataan itu, bukan warganegara digalakkan mendaftar sendiri atau melalui majikan secara dalam talian menerusi https://vaccine.cidblink.com/ untuk mendapatkan janji temu dan mempercepatkan proses pendaftaran apabila hadir di PPV CIDB nanti.

Tambah kenyataan itu, bayaran RM90 dikenakan untuk setiap individu bagi dua dos vaksin yang perlu dibuat secara dalam talian dan setelah pendaftaran, mereka akan diberikan tarikh janji temu sama ada melalui e-mel atau sistem pesanan ringkas (SMS).

Menurut CITF bagi peserta yang tidak mendaftar tetapi mahu pergi ke PPV CIDB secara ‘walk-in’, pembayaran boleh dibuat apabila tiba di pusat itu tertakluk kepada kekosongan pada hari tersebut.

Majikan yang menghantar lebih daripada 10 pekerja dalam sehari, mereka perlu menghantar wakil syarikat untuk menguruskan pekerja di PPV CIDB.

“Majikan juga bertanggungjawab memastikan pekerja memahami segala proses dan borang yang perlu diisi di PPV seperti borang kebenaran digital untuk memudahkan proses vaksinasi.

CITF menjelaskan setiap individu bukan warganegara yang hadir ke PPV perlu membawa bersama dokumen berkaitan seperti pasport atau sebarang dokumen pengenalan diri (bercetak) berserta telefon pintar dan bukti menunjukkan mereka bekerja di Lembah Klang.

Menurut CITF kapasiti harian PPV adalah sebanyak 2,000 orang sehari dan ‘walk-in’ juga adalah berdasarkan kaedah ‘first come,first served’ bergantung kepada kapasiti bekalan vaksin harian di PPV CIDB.

Pemberian vaksinasi adalah tertakluk kepada terma dan syarat yang digariskan oleh Kementerian Kesihatan dan prosedur operasi standard (SOP) PPV CIDB.

Sebarang pertanyaan boleh hubungi Pasukan Sekretariat Vaksinasi di talian 03-40428880/011-35491795 atau e-mel ke vaksin.kv@cidbh.com.my. –Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here