Home Koronavirus Pasukan vaksin Covid-19 disambut bagai ‘Adiwira’

Pasukan vaksin Covid-19 disambut bagai ‘Adiwira’

0
Pasukan vaksin Covid-19 disambut bagai ‘Adiwira’

KINABATANGAN – Terletak jauh di pedalaman dan lebih 20 kilometer dari pusat pemberian vaksin (PPV) terdekat iaitu Hospital Kinabatangan, pekerja ladang kelapa sawit Kertam di sini meluahkan perasaan lega apabila Pasukan Bertindak Imunisasi Covid (CITF) tiba memberikan vaksin Covid-19.

Kesukaran dari segi pengangkutan, jalan raya dan Covid semakin menular di kawasan bandar menyukarkan pekerja ladang untuk keluar bagi mendapatkan suntikan vaksin, justeru ketibaan pasukan Mobile Vaccination Team (MVT) disambut bagaikan ‘adiwira’ melindungi penduduk kawasan itu.

Seorang kakitangan ladang yang mendapatkan suntikan vaksin itu, Leng Kar Heang, 70, berkata beliau mendapatkan vaksin itu demi melindungi keluarganya daripada jangkitan Covid kerana risau dirinya boleh menjadi pembawa virus tersebut.

“Saya bertambah yakin buat kerja selepas ini, vaksin ini penyelamat dan pelindung kita…program vaksinasi bergerak sangat baik kerana kita dalam ladang jauh dari bandar dan PPV, semua gembira pasukan vaksin datang macam mahu sambut itu adiwira,” katanya ketika ditemui Bernama di sini.

Halimah Jamitah, 44, dan anaknya Eva Alvinah Samsul, 21, mengakui pada mulanya terpengaruh dengan cakap-cakap dan khabar angin kononnya vaksin Covid-19 mendatangkan mudarat kepada mereka namun menukar fikiran setelah melihat sendiri proses vaksinasi melalui MVT.

“Kami berasa lebih yakin selepas menerima vaksin apabila melihat proses suntikan vaksin yang mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ketat, lagipun selepas disuntik kami sihat semuanya termasuk warga emas,” kata Eva Alvinah.

Sinoh Kulipang, 45, pula mengucapkan terima kasih kepada kerajaan dan Kementerian Kesihatan kerana mengadakan program imunisasi di kawasan ladang dan menyeru masyarakat di kawasan ladang menyokong program ini untuk kebaikan diri, keluarga dan masyarakat keseluruhannya.

“Program suntikan vaksin seperti ini amat memudahkan pekerja ladang untuk datang beramai-ramai untuk mendapatkan vaksin kerana kesukaran untuk keluar berikutan pelaksanaan perintah sekatan pergerakan penuh dari 1 hingga 14 Jun ini,” katanya.

Program itu disertai 17 petugas dari Kementerian Kesihatan, Jabatan Kesihatan Daerah Kinabatangan dan Angkatan Pertahanan Awam (APM) dengan menyasarkan 300 pekerja di ladang sawit dan keutamaan diberikan kepada pekerja warganegara.

Pegawai Daerah Kinabatangan Abd Manap Abd Ruhim berkata usaha membawa vaksin ke kawasan ladang itu amat dialu-alukan malah pengurusan ladang kelapa sawit juga memberikan kerjasama dengan menyediakan tempat dan pekerja ladang itu hadir atas kesedaran mereka mengenai kepentingan mendapatkan vaksin.

“Pada masa ini suntikan vaksin hanya untuk pekerja tempatan, pekerja warga asing yang berisiko juga akan dipertimbangkan pemberian vaksin,” katanya.

Sehingga 27 Mei lepas seramai 24,408 penduduk daerah ini telah mendaftar sebagai penerima vaksin dan seramai 5,699 orang telah melengkapkan dua dos suntikan sementara 3,483 orang telah menerima suntikan dos pertama. – Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here