Home Koronavirus Pasukan MySejahtera diberi tempoh seminggu selesaikan isu sijil digital

Pasukan MySejahtera diberi tempoh seminggu selesaikan isu sijil digital

0
Pasukan MySejahtera diberi tempoh seminggu selesaikan isu sijil digital

PUTRAJAYA – Pasukan yang menguruskan aplikasi MySejahtera diberi tempoh seminggu untuk menyelesaikan isu berkaitan sijil digital vaksinasi.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, ia berikutan ada individu yang telah menerima suntikan vaksin lengkap, namun aplikasi berkenaan tidak memaparkan sijil digital itu.

“Saya telah mengarahkan pasukan MySejahtera untuk selesaikan dengan segera masalah berkaitan isu aplikasi tersebut termasuk masalah tidak ada sijil digital yang dipaparkan sehingga menimbulkan kebimbangan ramai.

“Buat sementara, saya telah benarkan supaya kad vaksin fizikal dapat digunakan bagi mereka yang berdepan dengan aplikasi MySejahtera ini,” katanya dalam sidang akhbar yang diadakan di kementeriannya di sini pada Khamis.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai masalah yang dihadapi sesetengah pihak susulan aplikasi tersebut tidak memaparkan sijil digital walaupun telah lengkap divaksin.

Menurut Khairy, kebenaran sama turut diberikan kepada penduduk di Selangor yang menerima vaksinasi melalui program Selvax.

“Bagi mereka yang berada di Selangor dan telah menerima vaksinasi melalui program Selvax di mana mereka ada sijil di dalam Selangkah, jadi buat sementara ini boleh gunakan kad vaksinasi fizikal,” katanya.

Katanya, kelonggaran itu diberikan sehingga mereka memperoleh sijil digital melalui MySejahtera masing-masing.

[LIVE] Sidang Media Menteri Kesihatan, Khairy Jamaludin Abu Bakar berhubung perkembangan terkini Covid-19 di Malaysia https://t.co/umaY1dQJcn

— SinarOnline (@SinarOnline) September 9, 2021

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here