Home Koronavirus Pasangan kembar teruja terima vaksin

Pasangan kembar teruja terima vaksin

0
Pasangan kembar teruja terima vaksin

KEPALA BATAS – Pasangan kembar berusia 17 tahun dari Pinang Tunggal di sini teruja menerima suntikan vaksin pertama kerana mahu kembali ke sekolah tidak lama lagi memandangkan bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Luah Zheng Sheng dan adik kembarnya, Luah Zheng Yang antara 3,500 pelajar di Pulau Pinang yang menyertai Program Imunisasi Covid-19 Remaja di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Millenium di sini pada Khamis.

Kedua-dua pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Cina (SMJKC) Chung Ling Butterworth itu mengakui pada mulanya rasa gementar sebelum disuntik namun perasaan itu berubah selepas ditenangkan oleh bapa mereka, Luah Pok Boon, 51, yang menemani dua beradik itu ke PPV pagi Khamis.

Zheng Sheng berkata, dia dan adiknya mendaftarkan melalui aplikasi MySejahtera sejak Julai lalu dan memang menunggu masa untuk dipanggil bagi mendapatkan suntikan vaksin.

Menurutnya, hanya mereka berdua daripada lima beradik belum menerima imunisasi dan selepas ini akan lebih selesa melakukan aktiviti bersama keluarga.

“Tak sakit langsung ketika doktor cucuk malah proses sangat cepat,” katanya ketika ditemui di pekarangan PPV Dewan Millenium di sini pada Khamis.

Bagi Zheng Yang pula, dia tidak sabar ke sekolah untuk bertemu rakan-rakannya kerana lebih suka melakukan aktiviti pembelajaran secara bersemuka di sekolah berbanding proses pembelajaran dan pengajaran di rumah (PdPR).

“Kami akan menduduki peperiksaan SPM tidak lama lagi dan pastinya belajar di sekolah lebih menarik berbanding di rumah kerana lebih faham pelajaran diajar oleh cikgu.

“Semua pelajar perlu mendapatkan suntikan vaksin bagi menjamin keselamatan kita semua di sekolah nanti,” katanya.

Seorang lagi pelajar berkongsi pendapat sama ialah Ahmad Musharaff Ahmad Mushir,17, yang bersekolah di Maahad Imam Nawawi di Penaga.

Ahmad Musharaff berkata, dia bersyukur kerana menjadi antara pelajar terawal menerima suntikan vaksin.

“Saya menasihati semua rakan saya supaya tidak takut menerima suntikan vaksin kerana ia dapat menjauhkan diri daripada jangkitan Covid-19,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here