KUANTAN – Kerajaan negeri Pahang mengesahkan sudah menerima 11,700 dos tambahan vaksin Covid-19 Pfizer BioNTech.
Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan negeri, Datuk Seri Norol Azali Sulaiman berkata, penerimaan dos tambahan itu adalah susulan daripada penghantaran fasa pertama vaksin Covid-19 berjumlah 23,400 diterima kerajaan negeri pada 24 Februari lalu.
Menurutnya, kesemua vaksin itu telah ditempatkan di lima pusat penyimpanan vaksin di seluruh negeri ini.
“Sebanyak 4,680 dos ditempatkan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Hospital Muadzam Shah, Rompin dan Hospital Bentong masing-masing menerima 1,170 dos, manakala Hospital Lipis dan Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HOSHAS) Temerloh pula sebanyak 2,340 dos.
“Semua dos tambahan itu mula tiba di pusat penyimpanan vaksin secara berperingkat bermula jam 1 petang, Rabu,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Rabu.
Norol Azali berkata, proses pengagihan dos tambahan itu akan dikendalikan Pusat Kesihatan Daerah bagi proses suntikan vaksin kepada penerima mengikut kategori ditetapkan.
“Kita beri keutamaan kepada petugas pasukan barisan hadapan,” katanya.
Beliau berkata, secara keseluruhannya, kerajaan negeri dijadualkan menerima 64,350 dos vaksin Covid-19 melalui enam fasa penghantaran.
Pahang mempunyai lima pusat penyimpanan vaksin, 49 pusat pemberian vaksin dan 72 fasiliti pemberian vaksin di seluruh negeri.
Sebelum ini, Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dalam kenyataannya berharap proses pemberian vaksin Covid-19 kepada seluruh rakyat Pahang dapat diselesaikan selewat-lewatnya Februari tahun hadapan.