KOTA BHARU – Orang Kelantan dinasihatkan jangan takut kerana vaksin yang diterima adalah selamat.
Tegas Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Negeri, Dr Izani Husin, setakat ini mereka yang telah melengkapkan suntikan tidak berdepan sebarang implikasi buruk.
“Tiada sebarang laporan berkaitan perkara tersebut diterima. Kita hanya merekodkan kesan-kesan biasa sahaja seperti kebas selepas menerima suntikan.
“Kesan sampingan seperti rebah di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) atau menerima rawatan lanjut di hospital selepas menerima suntikan itu tidak direkodkan oleh pihak kami sehingga hari ini,” katanya selepas turun padang meninjau proses suntikan vaksin di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Majlis Daerah Ketereh, di sini pada Ahad.
Menurutnya, setakat ini hanya 5.3 peratus rakyat Kelantan telah melengkapkan suntikan vaksin Covid-19.
Beliau berkata, jumlah itu menjadi rendah disebabkan oleh masalah bekalan vaksin yang dihadapi sebelum ini dan difahamkan vaksin penuh akan diterima bermula Jun ini.
Dr Izani berkata, kerajaan negeri menyeru kepada seluruh lapisan masyarakat untuk bekerjasama bagi menjayakan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan yang telah dilaksanakan.
Katanya, jika 80 peratus rakyat berjaya melengkapkan suntikan ini ia dijangka dapat meningkatkan imuniti kelompok.
“Bila proses vaksin berjaya dilengkapkan, kerajaan dapat membuka semua sektor yang melibatkan ekonomi, pendidikan dan sebagainya serta negara boleh terus berjalan dengan baik.
“Saya tidak menolak kemungkinan kerajaan pusat akan mengambil tindakan lebih tegas sekiranya rakyat enggan mengambil suntikan vaksin dan gagal mencapai sasaran yang ditetapkan,” katanya.