Home Koronavirus Ops Ketuk kesan penduduk tidak beri kerjasama

Ops Ketuk kesan penduduk tidak beri kerjasama

0
Ops Ketuk kesan penduduk tidak beri kerjasama

PETALING JAYA – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan melaksanakan Operasi Ketuk (Ops Ketuk) bagi mengesan penghuni di 98 unit kediaman di Mentari Court, Sunway Mentari di sini, yang enggan memberi kerjasama dalam ujian saringan Covid-19 sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di kawasan itu.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, petugas kesihatan di kawasan berkenaan dengan dibantu pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan melawat dari rumah ke rumah bagi memastikan semua penghuni menjalani ujian saringan Covid-19 sebagai langkah membendung penularan jangkitan di kawasan perumahan itu.

“Sehingga kini, penghuni di 98 unit kediaman ini juga langsung tidak memberikan sebarang maklum balas sehingga menyukarkan saringan dibuat ke atas penduduk serta hasrat memastikan penularan Covid-19 diputuskan,” katanya dalam sidang akhbar selepas melawat kawasan perumahan Mentari Court di sini pada Isnin.

Amirudin berkata, setakat ini baki penghuni di 3,371 unit kediaman daripada tujuh blok di kawasan berkenaan sudah memberikan kerjasama untuk proses saringan dan dijangka menerima vaksin dalam masa terdekat bermula pada Isnin.

“Penduduk dewasa yang disahkan negatif dalam ujian saringan Covid -19 akan menerima suntikan vaksin jenis Pfizer bermula hari ini,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya turut menyampaikan bantuan 3,500 bakul makanan kepada 17,000 penduduk di kawasan itu sejak Khamis lalu melalui Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS), selain sumbangan barang-barang basah Ahli Parlimen Petaling, Maria Chin Abdullah.

“Kerajaan negeri Selangor juga sedia memberikan bantuan sekiranya ada keperluan daripada penduduk di kawasan ini,” katanya.

PKPD di Mentari Court, dilaksanakan bermula 1 Julai hingga 14 Julai ini selepas kawasan berkenaan mencatatkan jumlah positif Covid-19 yang membimbangkan dan kawasan terbabit juga dijadikan perintis bagi lokasi pertama PKPD di Selangor yang menjadi Pusat Pemberian Vaksin (PPV) terhadap semua penduduk yang didapati negatif dalam ujian saringan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here