Home Koronavirus Operasi kilang cetus kluster Covid-19 perlu ditutup sementara

Operasi kilang cetus kluster Covid-19 perlu ditutup sementara

0
Operasi kilang cetus kluster Covid-19 perlu ditutup sementara

ALOR GAJAH – Tindakan lebih drastik dengan menutup sementara terhadap kilang mencetuskan kluster Covid-19 daripada beroperasi sepenuhnya perlu dilakukan bagi mengekang penularan jangkitan yang menyumbang kepada peningkatan kes di Melaka.

Exco Perpaduan, Hubungan Masyarakat, Tenaga Kerja dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Datuk Ismail Othman berkata, penutupan sepenuhnya itu penting bagi memastikan semua pekerja dapat menjalani saringan dan kuarantin ditetapkan sekiranya didapati positif Covid-19.

Beliau berkata, pelaksanaan tindakan berkenaan akan dicadangkan kepada kerajaan negeri pada Mesyuarat Jawatankuasa Khas Covid-19 Melaka dalam masa terdekat ini.

“Kita tidak boleh tutup bahagian tertentu sahaja dan membuka bahagian lain dalam kilang yang dikesan berlaku kes positif Covid-19 dalam kalangan pekerja mereka khususnya warga asing, seperti dilakukan sekarang.

“Kerajaan negeri perlu belajar dari kesilapan berlakunya tiga kali kluster sama melibatkan sebuah kilang di Batu Berendam sepanjang penularan Covid-19 di negeri ini,” katanya ketika ditemui pemberita di Kuala Linggi di sini pada Ahad.

Mengulas lanjut, Ismail yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Linggi berkata, penutupan sementara operasi sepenuhnya itu penting bagi mengurangkan kes penularan di Melaka sekali gus menamatkan kluster terlibat sepenuhnya.

Pada Sabtu, media melaporkan Melaka mencatatkan peningkatan mendadak kepada 835 kes berbanding 222 kes pada Jumaat.

Media turut melaporkan sebuah kilang komponen elektronik di Batu Berendam di sini diarah tutup kali ketiga selepas merekodkan trend tinggi penularan Covid-19 dengan jumlah kumulatif positif mencecah 1,000 kes hingga Jumaat.

Exco Kesihatan dan Antidadah negeri, Datuk Rahmad Mariman dipetik sebagai berkata, kilang itu diarahkan menutup operasinya di Blok 3 dan 4 pada 29 Jun hingga 16 Julai depan, manakala operasi di Blok 5 dan 6 diarahkan ditutup bermula Khamis hingga 21 Julai depan. – Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here