Home Koronavirus Operasi hari kedua PPV WTCKL lancar, terkawal

Operasi hari kedua PPV WTCKL lancar, terkawal

0
Operasi hari kedua PPV WTCKL lancar, terkawal

KUALA LUMPUR – Keadaan hari kedua di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) terbesar negara, World Trade Centre Kuala Lumpur (WTCKL) pada Ahad lebih terkawal berbanding hari pertama.

Tinjauan Sinar Harian mendapati, lebih ramai anggota polis ditempatkan di pekarangan WTCKL yang menjadi laluan masuk utama penerima vaksin yang mempunyai janji temu.

Beberapa petugas polis dilihat membuat pengumuman demi pengumuman bagi memaklumkan giliran masa yang sudah sedia untuk dibenarkan masuk.

Pita penghalang dipasang oleh pihak polis di kawasan pekarangan lobi WTCKL dan hanya mereka yang mempunyai janji temu bagi masa yang telah dipanggil dibenarkan masuk.

Laluan masuk bagi setiap stesen juga diasingkan kepada tiga membuatkan bakal penerima vaksin tidak tertumpu di satu kawasan sahaja.

Tinjauan di beberapa bahagian dalam PPV WTCKL juga didapati terkawal dan setiap penerima mengikut arahan sistem aturan yang telah ditetapkan dengan bantuan petugas.

Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar juga dilihat membantu di kaunter pendaftaran.

Dalam pada itu, Khairy turut mengakui keadaan pada hari kedua pengoperasian PPV yang telah ditingkatkan jumlah kapasiti sehingga empat kali ganda berbanding kapasiti asal 2,000 adalah lebih lancar.

“PPV vaksin AstraZeneca WTCKL lebih lancar hari ini. Kawalan orang ramai di bahagian luar juga lebih baik.

“Pengamalan ini adalah baik untuk kita dapat memastikan pembukaan PPV berskala mega di Malaysia iaitu di Stadium Bukit Jalil dapat dilakukan iaitu lebih 10,000 pemberian vaksin setiap hari,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

ARTIKEL BERKAITAN: Datang awal ‘cuba nasib’ punca PPV WTCKL sesak

Setakat jam 12.30 tengah hari pada Ahad, seramai 2,550 individu telah selesai mendapatkan suntikan dos pertama di WTCKL.

Pada Sabtu, Khairy memberitahu PPV WTCKL dijadikan sebagai ‘test case; bagi melihat keberkesanan PPV berskala besar sebelum diperluaskan ke lokasi lain.

Peningkatan kapasiti kepada 8,100 individu yang menerima vaksin adalah bagi mempercepatkan proses vaksinasi di Malaysia.

Bagaimanapun pada Sabtu, berlaku kesesakan di bahagian luar WTCKL berikutan orang ramai berpusu-pusu datang termasuk terdapat individu yang tidak mendaftar untuk vaksin AstraZeneca tetapi ‘mencuba nasib’ untuk mendapatkannya.

Ia diburukkan lagi dengan mereka yang bakal menerima vaksin, namun tiba lebih awal dari waktu janji temu ditetapkan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi WTCKL, Fauzy Wahab berkata, beberapa penambahbaikan dilakukan pada Ahad termasuk penambahan pasukan agensi kerajaan yang membantu membuat pemantauan khususnya di bahagian luar WTCKL.

“Keadaan pada hari ini (Ahad) lebih lancar kerana laluan masuk mengikut stesen yang telah ditetapkan. Kami sarankan yang akan mendapatkan vaksin supaya hanya datang pada waktu ditetapkan atau setengah jam lebih awal,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here