SUBANG – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sudah mengenal pasti beberapa negara yang akan diletakkan dalam senarai ‘risiko tinggi’ susulan penularan varian baharu Covid-19 iaitu Omicron, kata Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.
Ahli Parlimen Rembau itu berkata, KKM juga akan terus memantau laporan harian Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan melihat beberapa lagi negara untuk diletakkan dalam senarai tersebut.
Beliau berkata, garis panduan sedia ada KKM mewajibkan pengembaran dari negara tersenarai untuk memakai peranti pengesanan digital bagi supaya mereka patuh pada prosedur operasi standard (SOP) dan kekal berada di tempat kuarantin yang ditetapkan.
“Ada beberapa negara yang telah kita masukkan dalam senarai ‘high risk’, walaupun kita tidak membuat sekatan seperti mana terhadap negara-negara yang saya umumkan minggu lepas, tapi ada beberapa negara (lagi) akan kita kategorikan sebagai high risk.
“Semua pengembara dari negara itu mesti pakai digital tracking device supaya kita tahu mereka di rumah, untuk proses kuarantin.
“Senarai itu merupakan senarai KKM, supaya kita tahu siapa datang dari negara tersebut, dan akan pakaikan peranti digital. Kita masih boleh benarkan mereka kuarantin di rumah dan tak akan benarkan mereka keluar dari rumah,” katanya dalam satu sidang media, pada Sabtu.
Setakat ini, pengembara dari lapan negara telah dikenakan sekatan dari memasuki Malaysia iaitu Afrika Selatan, Botswana, Eswatini, Lesotho, Mozambique, Namibia, Zimbabwe dan Malawi.
Dalam sidang media yang sama, Khairy berkata, rakyat Malaysia diseru untuk tidak panik memandangkan garis panduan dan SOP KKM adalah lebih ketat berbanding negara-negara lain termasuk United Kingdom (UK) dan Amerika Syarikat.
“Kalau lihat pengalaman negara yang sudah mengesan Omicron di negara mereka, kerajaan mereka ketatkan beberapa garis panduan dan SOP. Dan saya telah baca, pengalaman di UK dan sebagainya, sebenarnya apa yang mereka ketatkan, masih lagi longgar berbanding Malaysia.
“Now they’re talking about mask indoor sedangkan kita sudah amalkan. Jadi dalam hal ini saya rasa dengan segala langkah sedia ada di Malaysia, kita memang sudah berada di tahap yang berjaga-jaga. Negara lain baru nak buat benda yang kita dah praktikkan,” jelas Khairy.
Khairy turut memberitahu, setakat ini langkah keselamatan di Malaysia merupa antara yang ketat di dunia, termasuk dengan persiapan seperti kadar vaksinasi yang tinggi, stok dos penggalak yang mencukupi serta persediaan sistem kesihatan awam sekiranya kadar kemasukan ke hospital kembali meningkat. – Awani