Home Koronavirus NGO kesihatan giat laksana program vaksinasi rumah ke rumah

NGO kesihatan giat laksana program vaksinasi rumah ke rumah

0
NGO kesihatan giat laksana program vaksinasi rumah ke rumah

SHAH ALAM – Beberapa badan bukan kerajaan (NGO) kesihatan kini sedang giat melaksanakan Program Vaksinasi Rumah ke Rumah di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) kepada individu terlantar sakit dan orang kurang upaya (OKU).

Antara NGO terlibat ialah Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSMM), Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM), Persatuan Perubatan Islam Malaysia (IMARET) dan Persatuan Bantuan Perubatan Malaysia (Mercy Malaysia).

Setiausaha Agung PBSMM, Hakim Hamzah berkata, program berkenaan sudah berlangsung sejak dua minggu lalu bermula pada 6 Julai.

Jelasnya, pihak PBSMM termasuk NGO lain akan memfokuskan kepada kawasan sekitar Lembah Klang, Selangor dan Kuala Lumpur.

“Setakat ini PBSMM telah melawat sebanyak 28 buah rumah, diikuti Mercy Malaysia (196), NCSM (482) dan IMARET (30) di sekitar daerah Selangor termasuk Hulu Langat, Puchong, Sri Kembangan dan Shah Alam.

“Hasil daripada lawatan ini, sebanyak 1,527 individu telah pun menerima suntikan vaksin Covid-19 bagi dos yang pertama,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Rabu.

Mengulas lanjut Hakim berkata, selain mengutamakan pemberian vaksin kepada individu yang uzur dan OKU, pihaknya juga memberikan vaksin kepada seluruh isi rumah yang mengalami masalah untuk menghadiri ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) disebabkan terpaksa menjaga ahli keluarga sakit.

Ketika ditanya mengenai peruntukan dos vaksin Covid-19, Hakim berkata, pihaknya bergantung kepada senarai nama yang diberikan Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Selain menerima senarai nama daripada JKM dan KKM, kita juga membuat pendaftaran menerusi QR Code PBSMM. Kemudian nama yang telah daftar ini kita akan berikan pula kepada KKM untuk mendapatkan pengesahan dan stok vaksin Covid-19,” katanya.

Sehubungan itu, Hakim meminta supaya penjaga kepada pesakit kronik yang uzur dan terlantar atau OKU segera mendaftar di bawah program berkenaan agar negara dapat mencapai imunisasi kelompok dalam masa terdekat.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here