SHAH ALAM – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menjangkakan hasrat kerajaan Malaysia menurunkan kes jangkitan harian Covid-19 menjelang Mei depan tidak kesampaian.
Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan berkata, ini mengambil kira trend peningkatan kes sejak 7 April lalu dan amaran gelombang keempat serta kadar vaksinasi yang sangat perlahan.
“Menteri Pertahanan (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) beri amaran bahawa Malaysia mungkin berdepan gelombang keempat Covid biarpun gelombang ketiga masih belum reda.
“Kadar kebolehjangkitan Covid-19 atau Ro/Rt diberi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) naik ke 1.07 iaitu paling tinggi sejak 4 Februari 2021 lalu dan di atas paras neutral 1.00,” katanya di laman Facebooknya pada Selasa.
Najib juga memetik kenyataan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin pada Isnin bahawa bekalan vaksin yang mencukupi hanya dijangka pulih pada Jun ini.
“Nampaknya hasrat kerajaan untuk turunkan kes jangkitan baharu setiap hari kepada dua angka menjelang bulan Mei dengan pelaksanaan darurat/P KP (Perintah Kawalan Pergerakan) pada Januari lalu bakal tidak kesampaian.
“Apapun, kita jangan leka semasa menyambut bulan Ramadan,” katanya.