Home Koronavirus Mobilisasi petugas KKM bantu tangani Covid-19 di Sabah

Mobilisasi petugas KKM bantu tangani Covid-19 di Sabah

0
Mobilisasi petugas KKM bantu tangani Covid-19 di Sabah

KOTA KINABALU – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaksanakan penempatan mobilisasi semula tenaga kerja bagi membantu menangani peningkatan kes Covid-19 di Sabah.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, sejumlah 97 daripada 150 pegawai lantikan tetap diarahkan melapor diri di Sabah pada 2 Ogos dan 1 September manakala 50 pegawai perubatan akan ditawar pelantikan tetap bermula 13 September ini.

Beliau memberitahu, baki keperluan pegawai perubatan akan ditampung melalui pengisian pegawai perubatan siswazah.

“Saya juga akan memastikan 78 penolong pegawai perubatan yang dimobilisasikan ke Selangor tempoh hari akan dipulangkan ke Sabah.

“Saya percaya, sebahagian besar atau semua akan melaporkan diri ke Sabah selewat-lewatnya akhir minggu ini untuk mereka kembali ke Sabah,” katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (CITF) Peringkat Negeri Sabah, di Pusat Pentadbiran Kerajaan Negeri Sabah (PPNS) pada Isnin.

Pada masa sama, Khairy berkata, menerusi penghantaran sebanyak 2.9 juta dos vaksin pada September ini diyakini dapat meningkatkan lagi kadar vaksinasi harian di Sabah iaitu kepada 60,000 hingga 70,000 suntikan sehari.

“Kita menyasarkan 60 peratus penduduk dewasa Sabah akan lengkap vaksinasi akhir September ini dan 80 peratus daripada penduduk dewasa di Sabah akan lengkap vaksinasi pada akhir bulan Oktober.

“Justeru, kita perbanyakkan program mobile outreach dan kerajaan negeri serta Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) akan merancang lebih 130 program outreach dalam September dan ini yang melibatkan program vaksinasi mobile di luar,” katanya.

Beliau sebelum ini turut memaklumkan program vaksinasi kepada golongan remaja di negeri ini akan dimulakan pada Oktober depan selepas Sabah berjaya mencapai 80 peratus jumlah populasi dewasa yang divaksinasi.

Hadir sama, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor; Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah; Pengarah Kesihatan Negeri Sabah, Dr Rose Nani Mudin dan Menteri Pembangunan Masyarakat Kesejahteraan Rakyat Sabah, Ir Shahelmy Yahya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here