Home Koronavirus Melaka bakal edar, jual kit ujian kendiri Covid-19

Melaka bakal edar, jual kit ujian kendiri Covid-19

0
Melaka bakal edar, jual kit ujian kendiri Covid-19

ALOR GAJAH – Kerajaan negeri menerusi Perbadanan Bioteknologi Melaka bakal mengedar dan menjual kit ujian kendiri Covid-19 di bawah paras harga siling di pasaran selewat-lewatnya awal Mac depan.

Exco Kesihatan dan Antidadah, Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, setakat ini ia baharu selesai proses kelulusan Lembaga Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA) sebelum ia dapat dipasarkan sama ada di pasar raya mahupun farmasi-farmasi sekitar negeri ini.

Menurutnya, usaha ini bertepatan dengan permintaan tinggi kit ujian kendiri berkenaan sekali gus merealisasikan manifesto kerajaan Barisan Nasional (BN) yang mahu menyediakan kit ujian kendiri Covid-19 dengan harga lebih murah.

Katanya, pada ketika ini kit ujian kendiri di pasaran dijual pada harga RM4.90 dan langkah tersebut diyakini mampu mengatasi masalah kekurangan bekalan tersebut.

“Harga murah sedikit berbanding harga pasaran dan kita lihat hari ini permintaan kit ujian kendiri tinggi.

“Langkah ini antara inisiatif kerajaan negeri nak jual dengan harga murah bawah RM4.90 dan sekurang-kurangnya dapat membantu mereka yang kurang berkemampuan,” katanya.

Tambahnya, Bioteknologi Melaka mengambil tanggungjawab membawa kit ujian kendiri ke Malaysia dan telah mendapat kelulusan.

“Insya-ALLAH kerajaan negeri melalui Bioteknologi Melaka akan menjualnya,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika merasmikan program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Kanak-kanak (PICKids) di Hospital Alor Gajah, di sini, pada Selasa.

Mengulas lanjut beliau berkata, pendekatan ini merupakan keprihatinan kerajaan negeri menyelami luahan hati rakyat yang sukar untuk mendapatkan kit ujian kendiri tersebut.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, Melaka merupakan negeri tertinggi pemberian vaksinasi berbanding negeri lain membabitkan kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun dengan merekodkan 23 peratus.

“Kita menyasarkan pertengahan Mac depan sekurang-kurangnya telah mencapai 50 peratus kanak-kanak yang layak divaksin,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here