SUBANG JAYA – Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) menubuhkan bilik gerakan Covid-19 bagi mengendalikan hal-hal berkaitan prosedur operasi standard (SOP) dan informasi berkenaan Covid-19.
Timbalan Pengarah Jabatan Korporat dan Pengurusan Strategi MBSA, Azfarizal Abdul Rashid dalam satu kenyataan berkata, bilik gerakan itu akan memberikan informasi mengenai pengurusan kes-kes positif Covid-19 kepada penduduk di daerah Petaling.
“Bilik gerakan ini akan beroperasi di Subang Jaya Vibrant Command Centre (SJVCC) bermula jam 8 pagi hingga 8 malam setiap hari untuk memberi informasi berkaitan SOP, pengurusan kes positif serta pengurusan kes-kes kontak rapat Covid-19 untuk penduduk di daerah Petaling.
“Ia juga akan mengemaskini data semasa seperti angka jangkitan harian dan jumlah kematian akibat Covid-19 di Malaysia, Selangor dan daerah Petaling khususnya,” menurut kenyataan tersebut pada Khamis.
Tambahnya, operasi SJVCC masih kekal seperti biasa walaupun bilik gerakan Covid-19 itu akan beroperasi pada waktu bekerja yang sama.
“SJVCC seperti biasa akan terus membuat pemantauan melalui 167 unit kamera litar tertutup (CCTV) yang terdapat di kawasan pentadbiran MBSJ dan menjawab panggilan orang awam berkenaan SOP terkini PKP 3.0.
“Orang awam yang ingan membuat sebarang pertanyaan atau mendapatkan informasi yang berkaitan boleh menghubungi bilik gerakan MBSJ di talian 03 80247770,” katanya.