KUANTAN – Masyarakat orang asli di Pahang diminta tidak terpengaruh dengan berita tidak tepat sehingga menyebabkan mereka takut dan tidak berminat untuk menerima suntikan vaksin Covid-19.
Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) Pahang, Johari Alwi berkata, setakat ini hanya 500 orang asli yang sudah menerima suntikan itu daripada 3,000 orang yang sudah mendaftar sejak Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) diperkenalkan kerajaan.
Menurut beliau, jumlah itu dilihat amat rendah jika dibandingkan dengan bilangan masyarakat orang asli di Pahang seramai 54,000 yang layak menerima suntikan.
“Ini semua mungkin disebabkan terpengaruh dengan cerita tidak benar mengenai vaksinasi. Mereka tidak perlu takut dan bimbang serta tidak perlu percaya dengan cerita palsu mengenai vaksin yang disediakan kerajaan.
“Jadi, atas sebab itu, pihak kita memberikan sesi penerangan kepada mereka (orang asli) mengenai kebaikan menerima vaksinasi ini,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Rabu.
Johari berkata, pihaknya sudah mengarahkan pegawai Jakoa untuk mempergiatkan lagi usaha bagi membolehkan semua masyarakat orang asli berdaftar vaksin.
Katanya, sehingga kini sebanyak 15,000 borang persetujuan menerima suntikan vaksin Covid-19 telah diedarkan kepada mereka.
“Kita akan edarkan borang ini secara berperingkat dan dijangka menjelang Oktober nanti semua masyarakat orang asli di Pahang sudah didaftarkan.
“Bagi tujuan itu, kempen secara langsung di kampung pedalaman terus dilakukan menggunakan kaedah pendaftaran secara borang manual, pegawai Jakoa akan membantu mengisi selain menguruskan pengangkutan. Ini semua dilakukan bagi memastikan matlamat kerajaan tercapai,” ujarnya.
Sementara itu, Johari berkata, selain mendaftar melalui Jakoa terdapat masyarakat orang asli yang daftar melalui MySejahtera dan petugas barisan hadapan.
Tambahnya, kerajaan negeri Pahang menyediakan 1,000 kuota untuk masyarakat orang asli mendapatkan suntikan vaksin, namun ia masih belum digunakan sepenuhnya.
“Saya merayu supaya semua masyarakat orang asli di negeri ini yang layak segeralah mendaftar bagi mendapatkan suntikan vaksin,” katanya.