PUTRAJAYA – MAB Kargo Sdn Bhd (MASkargo) menubuhkan satu pasukan khas yang dikhususkan untuk menyelaraskan proses penerimaan vaksin Covid-19 ke Malaysia, kata Ketua Pegawai Operasinya, Mohd Zulkefly Ujang.
Beliau berkata, pasukan itu ditubuhkan dua bulan lepas dan dianggotai 30 individu yang mempunyai kepakaran dalam bidang pengurusan vaksin.
“Pasukan ini akan menguruskan vaksin Covid-19 yang akan tiba pada Ahad dan pada fasa-fasa seterusnya, mereka telah diberikan latihan secukupnya untuk mengendalikan vaksin,” katanya kepada Bernama.
MASkargo adalah cabang kargo Malaysia Airlines Bhd yang diberi tanggungjawab menyelaras proses penerimaan vaksin di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Ahad ini (esok), Malaysia akan menerima sebanyak 312,390 dos vaksin Covid-19 jenis Pfizer-BioNTech menjelang pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan secara berfasa bermula 26 Februari ini.
Fasa pertama program imunisasi itu bermula Februari hingga April melibatkan petugas barisan hadapan, diikuti fasa kedua bermula April hingga Ogos bagi kumpulan berisiko tinggi, iaitu warga emas berusia 60 tahun ke atas dan kumpulan rentan dengan masalah morbiditi serta golongan orang kurang upaya (OKU).
Fasa ketiga pula melibatkan golongan dewasa berusia 18 tahun ke atas, bermula dari Mei hingga Februari tahun depan.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan menerima suntikan vaksin itu pada hari pertama pelaksanaan program berkenaan bersama-sama petugas barisan hadapan.
Mohd Zulkefly berkata, kepakaran MASkargo dalam mengendalikan vaksin telah diiktiraf kerana hampir setiap hari menguruskan proses penerimaan pelbagai jenis vaksin di negara ini.
“Kita urus pelbagai jenis vaksin bukan sahaja Covid-19, kalau vaksin itu perlu disimpan dahulu di KLIA, kita juga ada fasiliti,” katanya. – Bernama