SHAH ALAM – Masalah penghantaran beberapa jenis vaksin Covid-19 ke negara ini tidak menjejaskan jadual Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.
Timbalan Menteri Tenaga, Sains dan Inovasi, Datuk Ahmad Amzad Hashim berkata, masalah tersebut sedang dihadapi seluruh dunia disebabkan kawalan dilakukan oleh negara-negara kaya.
Beliau berkata, kerajaan sebelum ini menjangkakan akan menerima bekalan vaksin lebih banyak pada Januari.
“Sekarang ini, ada sedikit masalah bekalan vaksin seluruh dunia. Terdapat keadaan di mana ada bekalan vaksin dikawal oleh negara-negara yang lebih kaya. Jadi itu jadi masalah kepada kita.
“Ada beberapa jenis vaksin terganggu daripada segi penghantaran namun ia tidak menggugat jadual vaksinasi yang sedang kita laksanakan sekarang,” katanya ketika menjadi panelis Wacana Sinar Edisi Ke-248 bertajuk ‘Penyatuan Ummah: Cukup-Cukuplah Berpecah’ yang disiarkan menerusi platform dalam talian Sinar Harian pada Khamis.
Tambah beliau, pendaftaran bagi mendapatkan suntikan vaksin kini mencecah lebih 8.5 juta orang, bagaimanapun jumlah itu masih kurang berbanding 24 juta yang disasarkan.
“Kita masih kurang berpuas hati dengan jumlah pendaftaran ini. Jadi kita mohon kerjasama bagi yang belum mendaftar agar berbuat demikian di mana-mana saluran yang disediakan,” katanya.