JAKARTA – Malaysia mengulangi komitmen kerjasama erat dengan negara-negara ASEAN dalam memerangi Covid-19 sejak virus itu mula dikesan sehinggalah kemunculan varian baharu ketika ini.
Menteri Luar Negeri Datuk Saifuddin Abdullah berkata, Menteri-menteri Kesihatan ASEAN memang selalu berbincang dan bertukar maklumat mengenai langkah-langkah menangani pandemik itu.
“Di samping kita sentiasa berwaspada dengan varian baharu dan sebagainya, negara-negara ASEAN juga sangat optimistik bahawa proses vaksinasi berjalan dengan baik,” katanya kepada media di majlis Penyerahan 15 Karya Seni Malaysia kepada wakil tetap Malaysia ke Asean, malam tadi.
Beliau berkata demikian ketika diminta oleh media Indonesia untuk mengulas komitmen negara agar kes import varian Delta Plus yang disahkan di Malaysia pada 6 November tidak menular ke negara-negara jiran seperti Indonesia.
Saifuddin berada di sini untuk mengiring Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang akan mengadakan lawatan rasmi tiga hari bermula Selasa.
Beliau bertemu dengan beberapa wakil organisasi di Indonesia untuk berkongsi idea mengenai diplomasi kebudayaan, satu inisiatif baharu kementerian yang dipimpinnya.
Wakil-wakil itu adalah daripada Kementerian Luar Negeri Indonesia, Kementerian Pendidikan, Kebudayaan, Riset (Research) dan Kebudayaan, Kementerian Parawisata (Pelancongan) dan Ekonomi Kreatif, Wahana Musik Indonesia, Pusat Kesenian Jakarta dan Badan Perfilman Indonesia.
Saifuddin turut menyerahkan 15 karya seni untuk bilik Malaysia dan galeri Asean di pejabat Sekretariat ASEAN kepada Wakil Tetap Malaysia ke Asean Kamsiah Kamaruddin.
“Ada gong yang banyak digunakan oleh negara-negara serumpun – Indonesia, Malaysia, Brunei, Singapura dan selatan Thailand…,” katanya.
Barang lain termasuklah tengkolok, tanjak, kain tenun Pahang, gambar pemandangan KLCC, labu sayong dan songket Sarawak. -Bernama