Home Koronavirus Malaysia terima 624,000 bekalan pertama vaksin kanak-kanak

Malaysia terima 624,000 bekalan pertama vaksin kanak-kanak

0
Malaysia terima 624,000 bekalan pertama vaksin kanak-kanak

SHAH ALAM- Malaysia menerima sebanyak 624,000 dos vaksin jenis mRNA Comirnaty 10 Mikrogram (mcg) Concentrate for Dispersion (Pfizer BioTech) menerusi penghantaran pertama yang akan digunakan untuk kanak-kanak berumur lima hingga bawah 12 tahun.

Menurut Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), vaksin yang tiba pada jam 7.15 pagi tersebut menggunakan pesawat TH383 milik Raya Air itu adalah dari kilang Pfizer di Belgium dan diuruskan oleh syarikat farmaseutikal tersebut manakala DHL sebagai peneraju dalam industri logistik.

Tambah KKM, sebanyak 72 kotak mengandungi vaksin tersebut akan dihantar ke 52 pusat simpanan Vaksin Ultra Low Freezer (ULTF) di 12 buah negeri seperti Pahang, Melaka, Johor, Negeri Sembilan, Sabah, Sarawak, Kuala Lumpur, Putrajaya, Labuan, Selangor, Kelantan dan Terengganu.

Sementara itu, di kawasan utara seperti Kedah, Perlis, Perak akan terus dihantar melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang.

“Proses pemindahan vaksin yang ditempatkan dalam ULTF dari bahagian kargo pesawat ke trak milik sebuah syarikat logistik, DHL Express berlangsung di kawasan Transmile Cargo Kompleks Raya Subang.

“Selesai proses pemindahan, trak syarikat logistik itu diiringi Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk ke lokasi penyimpanan vaksin yang ditetapkan sebagai langkah keselamatan.

“Vaksin Covid-19 yang telah tiba di Malaysia akan dihantar ke 16 lokasi Pusat Simpanan Vaksin (PSV) di seluruh negara.

“Ini termasuk penghantaran menerusi udara dari Subang ke Sabah dan Sarawak mengikut jadual penerbangan yang telah ditetapkan,” kata KKM dalam satu hantaran di Facebooknya pada Jumaat.

Mengulas lanjut, KKM berkata, dianggarkan seramai empat juta kanak-kanak berumur lima hingga bawah 12 tahun layak untuk menerima vaksin tersebut.

Sebagai permulaan, jelas KKM, pemberian vaksin Pfizer (kanak-kanak) akan dilaksanakan di Lembah Klang melalui hospital-hospital bagi mereka yang mempunyai masalah perubatan.

Sementara itu, bagi kanak-kanak yang tiada masalah perubatan, vaksin tersebut akan diberi di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Integrasi.

“Ibu bapa yang mempunyai anak-anak yang berumur dari lima hingga bawah 12 tahun boleh membuat tempahan melalui Sistem Tempahan Janji Temu di Aplikasi MySejahtera,” katanya.

Sehingga Jumaat, menurut KKM, seramai 484,639 kanak-kanak dalam anggaran umur tersebut telah mendaftar di MySejahtera.

“Melalui kaedah ini, ibu bapa atau penjaga boleh memilih lokasi serta masa vaksinasi yang sesuai untuk anak mereka,” ujarnya.

KKM mempelawa ibu bapa atau penjaga kepada kanak-kanak berumur lima hingga bawah 12 tahun yang tinggal di Lembah Klang untuk membuat tempahan janji temu untuk anak-anak mereka.

“Pelaksanaan sistem janji temu akan diperluaskan ke negeri lain dalam masa terdekat,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here