Home Koronavirus Malaysia terima 3.52 juta dos vaksin bulan ini

Malaysia terima 3.52 juta dos vaksin bulan ini

0
Malaysia terima 3.52 juta dos vaksin bulan ini

SEREMBAN – Malaysia akan menerima sebanyak 3.52 juta dos vaksin Covid-19 daripada ketiga-tiga syarikat pembekal vaksin jenis Pfizer-BioNtech, Sinovac dan AstraZeneca pada bulan ini dan lebih banyak lagi pada bulan seterusnya, sekali gus mempercepatkan proses vaksinasi.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, jumlah berkenaan adalah bagi pengambilan dua dos setiap seorang yang akan memanfaatkan kira-kira 1.7 juta penduduk di negara ini.

“Bekalan vaksin akan lebih banyak bermula Jun, bulan ini sahaja kita akan dapat 3.52 juta dos. Mulai Jun, Julai dan Ogos kita akan dapat lebih banyak, kita yakin proses vaksinasi akan lebih pantas

“Kementerian Kesihatan telah pun buat perolehan dan mengesahkan penghantaran mengikut jadual, begitu juga untuk fasa ketiga,” katanya kepada pemberita selepas meninjau pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan di fasiliti swasta di sini hari ini.

Justeru, beliau yakin fasa pemberian vaksin melalui program imunisasi kebangsaan itu dapat dilaksanakan mengikut jadual selepas kesemua dos dihantar ke negara ini walaupun terdapat dakwaan berlaku masalah kekurangan bekalan.

Selain itu, Dr Adham berkata kerajaan telah meluluskan sebanyak 4,000 pemberian vaksin di kedutaan asing di negara ini melibatkan diplomat, kaunselor dan tanggungan mereka sahaja mulai minggu ini.

Menurut beliau, mereka perlu memohon dengan kerajaan terlebih dahulu dalam tempoh tujuh hari bagi menyenaraikan semua penerima dalam tanggungan selain memerlukan doktor sendiri untuk urusan pemberian suntikan.

“Setakat ini kita telah benarkan diplomat daripada Kedutaan British manakala Kedutaan Australia dalam proses, mereka juga perlu memberikan senarai supaya boleh kita tampilkan dalam MySejahtera dan sebelum pemberian vaksin, kesemua bebuli itu perlu dipastikan tidak tercemar dan dihapuskan mengikut keperluan farmaseutikal,” katanya.

Sementara itu, Dr Adham menerusi akaun Twitternya hari ini berkata sebanyak 632,366 individu telah melengkapkan dua dos suntikan vaksin menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan setakat semalam.

Beliau berkata, jumlah itu adalah sebahagian daripada 991,906 individu yang telah menerima dos pertama sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan pemberian dos pertama dan kedua di negara ini sebanyak 1,624,272 setakat semalam.

Menurut infografik dikongsikan beliau, lima negeri yang menerima suntikan dos pertama tertinggi ialah Selangor dengan 133,226 dos, Kuala Lumpur (97,972), Sarawak (94,866), Johor (86,433) dan Perak (84,355).

Lima negeri yang melengkapkan dua dos suntikan COVID-19 tertinggi pula ialah Selangor dengan 85,780 diikuti Kuala Lumpur (66,898), Sarawak (65,104), Johor (58,143) dan Sabah (53,862).

Dalam pada itu, beliau berkata, setakat semalam 40.6 peratus atau 9,848,371 individu telah mendaftar untuk menerima suntikan vaksin dengan Selangor mencatat jumlah pendaftaran tertinggi sebanyak 2,528,707 individu iaitu 52.2 peratus.

Mengikut perancangan program imunisasi berkenaan, tempoh pelaksanaan fasa pertama pemberian vaksin yang bermula Februari hingga bulan ini melibatkan 500,000 anggota barisan hadapan termasuk petugas kesihatan.

Fasa kedua bermula April hingga Ogos pula membabitkan 9.4 juta warga emas, kumpulan rentan dan orang kurang upaya, manakala fasa ketiga yang dijadual pada Mei hingga Februari 2022, melibatkan individu 18 tahun dan ke atas, warganegara dan bukan warganegara dengan sasaran 13.7 juta orang atau lebih. – Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here