Home Koronavirus Malaysia terima 268,800 dos vaksin AstraZeneca

Malaysia terima 268,800 dos vaksin AstraZeneca

0
Malaysia terima 268,800 dos vaksin AstraZeneca

KOTA TINGGI – Malaysia menerima 268,800 dos vaksin Covid-19 jenis AstraZeneca di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) malam tadi.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, vaksin berkenaan yang diperoleh melalui fasiliti Covax tiba di KLIA pada 8.20 malam.

Beliau berkata, ini merupakan penghantaran pertama bagi vaksin berkenaan yang pembeliannya dilaksanakan pada Disember lepas bagi kegunaan tiga peratus jumlah populasi negara.

“Pihak fasiliti Covax menghantar vaksin ini dari Korea Selatan dan kita akan letak di gudang yang telah ditetapkan,” katanya pada sidang media selepas majlis penyampaian peruntukan Parlimen Tenggara di Pusat Khidmat Wakil Rakyat Ahli Parlimen Tenggara, Taman Daiman, di sini hari ini.

Sementara itu, ditanya mengenai kebimbangan masyarakat terhadap vaksin berkenaan, Dr Adham berkata, Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) telah membuat keputusan untuk membeli vaksin itu hanya selepas mendapat kelulusan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (MPRA).

Beliau berkata, berdasarkan penelitian terhadap semua data daripada pengeluar dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), didapati kelebihan menggunakan vaksin tersebut adalah melebihi kemudaratan.

“Pandangan kita, vaksin AstraZeneca ada kebaikan apabila digunakan terhadap kumpulan (penerima) tertentu… (sebab itu) kena banyakkan jenis-jenis vaksin lagi kerana keperluan vaksin ada yang boleh serasi dengan kumpulan-kumpulan itu… sekarang kita dah ada Pfizer-BioNTech, Sinovac dan AstraZeneca,” katanya.

Bagaimanapun ketika ditanya kumpulan pertama yang akan menerima vaksin berkenaan, beliau berkata satu pengumuman akan dibuat pada Isnin ini.

“Pihak JKJAV, pakar klinikal dan pakar jangkitan akan memberi saranan kepada kumpulan yang akan kita berikan dan kenyataan mengenainya akan dibuat Isnin ini,” katanya. -Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here