IPOH – Malaysia tidak layak menerima vaksin percuma dari negara luar termasuk dari India, kata Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.
Khairy yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi berkata, ini kerana negara pada ketika ini dikategorikan sebagai berpendapatan menengah atas, tidak seperti negara berpendapatan rendah dan sederhana lain yang melayakkan mereka menerima bekalan vaksin percuma.
“Kebanyakan negara lain mendapat vaksin percuma dari China, India dan Rusia kerana ‘consider’ sebagai negara berpendapatan rendah.
“Berbeza dengan Malaysia yang dikategorikan sebagai ‘upper middle income’, diskaun tak dapat, percuma pun tidak, kita kena beli semua (vaksin)…itu situasi semasa yang kita hadapi,” katanya pada sidang akhbar selepas mengadakan lawatan kerja ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Stadium Indera Mulia, di sini pada Selasa.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kemungkinan Malaysia terpilih antara negara menerima bekalan vaksin percuma yang ditawarkan kerajaan India.
Februari lalu, Ghana menjadi negara pertama yang menerima vaksin dari Covax, satu skim global yang memberi vaksin Covid-19 secara percuma untuk negara-negara miskin.
Sebanyak 600,000 dos yang dikirimkan ke Ghana adalah formula Oxford/AstraZeneca, dibuat berdasarkan lesen oleh pengeluar vaksin terbesar di dunia, Serum Institute of India.
Mengulas lanjut, Khairy Jamaluddin berkata, pihaknya telah pun mengadakan perjumpaan dengan Pesuruhjaya Tinggi India bagi rundingan pembelian vaksin novavax yang mempunyai kadar keberkesanan agak tinggi.
Katanya, rundingan sama turut dilakukan dengan beberapa syarikat negara itu termasuklah Serum Institute of India.
“Kita adakan rundingan dengan semua, cumanya India ini ada beberapa syarat penjualan bagi vaksin-vaksin tertentu. India juga ada hasrat jual vaksin dari Bharat Biotech, tetapi masalahnya mereka belum menjalankan ujian klinikal fasa ketiga.
“Sukar untuk kita membeli kerana kita tidak mempunyai data klinikal walaupun negara itu telah menggunakan vaksin berkenaan dalam program imunisasi mereka,” katanya.