Home Koronavirus Malaysia beri kelulusan pengilang AstraZeneca di Thailand

Malaysia beri kelulusan pengilang AstraZeneca di Thailand

Malaysia beri kelulusan pengilang AstraZeneca di Thailand

PUTRAJAYA – Malaysia memberi kelulusan bersyarat kepada pengilang kedua vaksin AstraZeneca, Siam Bioscience Co. Ltd, Thailand bagi produk Vaccine AstraZeneca Solution for Injection.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, keputusan itu dicapai dalam Mesyuarat Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang bersidang hari ini.

“Mesyuarat telah bersetuju memberikan kelulusan pendaftaran bersyarat untuk kegunaan semasa bencana kepada produk tersebut,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Menurutnya, pengilang terbabit merupakan pengeluar yang akan menjadi sumber bekalan vaksin AstraZeneca untuk kegunaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) di negara ini.

“Bekalan vaksin AstraZeneca yang bakal diterima daripada kilang ini dijangka dapat mempertingkatkan kadar vaksinasi di bawah PICK dengan lebih pantas,” katanya.

Beliau berkata, kelulusan pendaftaran secara bersyarat memerlukan syarikat Pemegang Pendaftaran Produk iaitu AstraZeneca Sdn Bhd mengemukakan data-data tambahan dan terkini produk vaksin tersebut dari semasa ke semasa.

“Ini bagi memastikan kualiti, keberkesanan dan keselamatannya sentiasa dikemas kini dan perbandingan manfaat dan risiko vaksin kekal positif,” katanya.

Sebelum ini, PBKD telah meluluskan pendaftaran bersyarat bagi pengilang Medimmune Pharma B V Netherlands pada 2 Mac lalu yang merupakan pengeluar bagi bekalan vaksin Covid-19 AstraZeneca ke negara Eropah.

Perolehan vaksin dibuat melalui dua kaedah iaitu secara terus dengan pengeluar dan melalui fasiliti Covax.

Negara mula menerima bekalan di bawah fasiliti Covax pada bulan April lalu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here