Home Koronavirus Malaysia akan sumbang 1.6 juta dos vaksin kepada Afghanistan

Malaysia akan sumbang 1.6 juta dos vaksin kepada Afghanistan

0
Malaysia akan sumbang 1.6 juta dos vaksin kepada Afghanistan

KUALA LUMPUR – Malaysia akan menyumbang sebanyak 1.6 juta dos vaksin kepada Afghanistan dalam usaha membantu negara yang sedang bergolak itu, kata Timbalan Menteri Luar, Datuk Kamarudin Jaffar.

Bagaimanapun, Kamarudin berkata, perkara itu masih lagi dalam proses rundingan dengan pihak penguasa di Afghanistan.

“Semalam, satu rombongan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) telah berlepas yang membawa lebih kurang sebanyak AS$50,000 dari segi tunai yang akan dibelanja atau diguna pakai untuk membeli barangan di Pakistan atau Afghanistan itu sendiri,” katanya dalam sesi soal jawab pada persidangan Dewan Rakyat pada Rabu.

Beliau menjawab soalan Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil (PH-Lembah Pantai) yang ingin tahu nilai bantuan yang telah diberikan oleh kerajaan setakat ini kepada rakyat Afghanistan dan bentuk bantuan yang akan diberikan dalam setahun yang akan datang.

Mengenai pendirian Malaysia serta tahap hubungan Malaysia dengan Afghanistan, Kamarudin berkata, dalam Mesyuarat Luar Biasa Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) di peringkat Menteri-menteri Luar Negeri yang dihadiri Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah di Islamabad, Pakistan pada 19 Disember lepas, Malaysia berpendapat bahawa pembinaan negara dan bantuan kemanusiaan kepada Afghanistan mestilah diterajui, dimiliki dan dikawal oleh negara itu.

Beliau berkata, Malaysia juga menyeru masyarakat antarabangsa supaya mengelakkan keruntuhan ekonomi Afghanistan secara menyeluruh dan meningkatkan usaha pemberian bantuan kemanusiaan antarabangsa kepada Afghanistan.

Kamarudin berkata, pengiktirafan kerajaan Afghanistan boleh berlaku melalui dua saluran iaitu Malaysia sebagai anggota OIC boleh mengambil kira pendirian yang ditetapkan secara bersama dalam pertubuhan itu terhadap isu pengiktirafan tersebut.

“Kedua, mengiktiraf kerajaan Afghanistan bersama dengan negara-negara yang sehaluan (like-minded) setelah kerajaan tersebut dianggap telah memenuhi dan mematuhi kesemua syarat yang ditetapkan iaitu penubuhan sebuah kerajaan yang inklusif, memelihara dan mempertahankan hak asasi golongan wanita dan etnik minoriti,” katanya.

Kamarudin berkata, Malaysia akan terus memantau perkembangan di Afghanistan dan beliau juga akan mewakili negara ke Mesyuarat Menteri-menteri Luar Negeri OIC di Islamabad pada 22 hingga 23 Mac ini bagi membincangkan situasi di Afghanistan.

Afghanistan berada dalam keadaan bergolak apabila tentera Taliban menumbangkan kerajaan Mohammad Ashraf Gani pada pertengahan Ogos lepas susulan pengunduran tentera Amerika Syarikat dari negara itu selepas 20 tahun mendudukinya. – Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here