Home Koronavirus Maklumkan diri Covid-19, tindakan Tan Kar Hing dipuji

Maklumkan diri Covid-19, tindakan Tan Kar Hing dipuji

0
Maklumkan diri Covid-19, tindakan Tan Kar Hing dipuji
Noor Azmi

BAGAN SERAI – Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali memuji tindakan calon Pakatan Harapan (PH) Parlimen Gopeng, Tan Kar Hing yang memaklumkan diri positif Covid-19.

Noor Azmi berkata, tindakan memaklumkan diri dijangkiti dan mengambil tindakan kuarantin kendiri di rumah menunjukkan sikap tanggungjawab pemimpin itu dalam memastikan penularan Covid-19 dapat dikawal.

“Satu tindakan yang baik, saya ‘salute’ sebab sekarang ini tidak ramai yang mahu lakukan ujian dan maklum. Mereka yang mempunyai selesema dan batuk, kita sangat menggalakkan mengamalkan kaedah TRIIS (uji, lapor, asingkan, maklumkan, dapatkan).

“Kalau positif maklumkan melalui MySejahtera. Sekiranya keadaan makin teruk datang ke hospital, jika tidak, maka kuarantin diri di rumah selama satu ke dua minggu, setelah sihat baru boleh keluar,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau operasi Pusat Daerah Mengundi (PDM) Matang Gerdu sempena Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di sini pada Isnin.

Pada Isnin, Kar Hing daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) memaklumkan dirinya disahkan positif Covid-19 selepas menjalani ujian kendiri dua kali akibat mengalami tanda-tanda kurang sihat.

Sementara itu, Noor Azmi mengingatkan kepada semua calon dan ahli parti agar terus mempertingkatkan amalan mencuci tangan dan pemakaian topeng muka sepanjang tempoh kempen terutama di kawasan tertutup dan tempat sesak.

“Sekarang bukan masa lagi kerajaan nak saman atau jaga sesiapa. Kita patut jaga diri sendiri,” katanya.

Beliau turut memberi jaminan bahawa jangkitan harian kes positif baharu Covid-19 di negara ini dapat dikawal dengan baik.

Katanya, kebanyakan kes yang melebihi 99 peratus adalah daripada kategori 1 dan 2, sementara tiada peningkatan bagi kes-kes yang dimasukkan ke hospital.

“Rakyat jangan bimbang, kementerian akan memantau apa yang perlu jika berlaku kenaikan mendadak.

“Walaupun beberapa hari lepas kes meningkat sampai 4,000, semalam saya semak kes dah turun ke 700.

“Angka kematian masih lagi satu digit, begitu juga kes yang dalam ICU (unit rawatan rapi), tidak meningkat ke tahap yang membimbangkan,” katanya.


‘Tiada kelulusan, jangan pakai gelaran doktor’

BAGAN SERAI – Calon yang bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dinasihatkan tidak menggunakan gelaran doktor sekiranya tidak mempunyai kelulusan yang sebenar, kata Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali.

Beliau berkata, tindakan seumpama itu boleh menyebabkan kekeliruan sekaligus memperdaya orang ramai.

“Isu seperti ini tidak boleh dipandang remeh kerana ianya akan menyebabkan kekeliruan kepada orang ramai.

“Kalau tiada kelulusan yang sebenar, jangan perdaya orang ramai dengan menggunakan gelaran itu, terutamanya calon yang bertanding, jangan tipu rakyat dengan penggunaan gelaran,” katanya kepada pemberita pada Isnin.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas isu gelaran doktor kalangan calon-calon PRU15 yang tular di media sosial.

Beberapa keping poster biodata calon parti yang dimuat naik di media sosial dikesan menggunakan gelaran itu tanpa mempunyai kelulusan sehingga menyebabkan keraguan dan mendatangkan kebimbangan kepada orang ramai.

Noor Azmi berkata, penggunaan gelaran doktor namun tidak memiliki sijil Doktor Bertauliah dari Malaysia Medical Board (MMC) merupakan satu kesalahan.

Katanya, jika individu itu tidak melengkapkan pengajian atau menyelesaikan latihan amali yang ditetapkan, maka gelaran itu tidak boleh digunakan.

“Sekiranya individu -individu itu menggunakan juga maka tindakannya itu telah mencemari gelaran doktor di seluruh negara dan boleh diambil tindakan,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here