SHAH ALAM – Maklumat tidak tepat mengenai vaksin termasuk bahan yang digunakan dikatakan tidak halal menjadi antara faktor menyebabkan sebahagian umat Islam di negara ini enggan menerima vaksinasi.
Anggota Majlis Sains Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Profesor Datuk Dr Adeeba Kamarulzaman berkata, perkara itu sudah dijelaskan namun kesedaran mengenai kepentingan vaksinasi dilaporkan masih belum memuaskan.
Beliau berkata, keadaan mungkin berubah dan lebih berkesan jika seseorang yang dihormati seperti Menteri Agama dan mufti di negeri-negeri serta imam di setiap masjid dapat memberikan penjelasan.
“Satu mungkin kerana ini adalah ciptaan orang-orang bukan Melayu dan kedua mengandung bahan-bahan yang tidak halal walaupun perkara itu sudah dijelaskan oleh Majlis Fatwa Negara.
“Mungkin mereka ingin dengar sendiri daripada pucuk pimpinan agama di negara ini dan kedua mungkin orang kita ini mudah sangat percaya dengan WhatsApp-WhatsApp yang mengarut,” katanya.
Bekas dekan Fakulti Perubatan Universiti Malaya (UM) itu berkata demikian dalam program Sinar Live bersama Anggota Majlis Sains Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Profesor Datuk Dr Adeeba Kamarulzaman dikendalikan Tokoh Wartawan Negara, Tan Sri Johan Jaaffar di Kompleks Kumpulan Karangkraf pada Rabu.
Dr Adeeba berkata, ada juga pihak yang mendakwa bahawa vaksin itu mengandungi bahan seperti magnet dan MNRE itu boleh masuk ke dalam asid deoksiribonukleik (DNA).
Malah katanya, ada juga yang mendakwa vaksin itu dicipta dalam kurang daripada setahun jadi pencipta-pencipta vaksin berkenaan telah mengambil ‘jalan pintas’ walhal semua itu tidak betul.
Beliau yakin dengan pengambilan vaksin akan dapat menyelesaikan sebahagian masalah yang dihadapi negara kerana telah terbukti keberkesanannya di Amerika Syarikat, United Kingdom serta Israel.
“Mereka (tiga negara terbabit) boleh dikatakan setahun yang lepas dalam keadaan seperti kita sekarang (di Malaysia) terutamanya di United Kingdom dan di Amerika Syarikat.
“Tetapi mereka secara agresif ‘roll out the vaccine’ dan sekarang mereka boleh menjalani kehidupan tanpa perlu memakai pelitup muka dan sebagainya,” katanya menjawab pertanyaan apakah vaksin akan menyelesaikan semua masalah.
Beliau menambah, sebahagian besar daripada masalah yang dihadapi negara dalam menangani pandemik Covid-19 ketika ini boleh diatasi dengan program vaksin jika dilaksanakan secara berleluasan.
“Masalahnya (kita) tidak seperti Amerika Syarikat dan United Kingdom, bekalan vaksin kita masih memerlukan beberapa bulan lagi untuk sampai ke sana (tahap tersebut) dan saya tahu kerajaan sedang berusaha sehabis baik.
“Namun ia akan memakan masa beberapa bulan dan sementara dalam tempoh itu kita mesti mematuhi prosedur termasuk membuat ujian dan sebagainya,” katanya.