AMPANG – Kerajaan negeri Selangor akan mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap majikan di negeri ini yang tidak menghantar pekerjanya untuk menerima suntikan vaksin Covid-19.
Jawatankuasa Program Vaksin Selangor (Selvax), Rodziah Ismail berkata, pengumuman berkenaan tindakan tersebut akan dibuat oleh Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dalam masa terdekat.
Menurut beliau, tindakan itu dibuat atas dasar keselamatan pekerja-pekerja tersebut.
“Tidak lama lagi Menteri Besar akan keluarkan satu arahan yang mana kilang-kilang yang tidak memvaksin pekerjanya akan dikenakan penguatkuasaan.
“Tindakan itu dibuat atas dasar keselamatan,” katanya ketika sidang akhbar Majlis Penyampaian Geran Peralatan Sitham Hijrah Selangor di Pusat Sehenti Sitham di Ampang Jaya di sini pada Sabtu.
Dalam pada itu, Rodziah turut menyarankan majikan membuat pradaftar untuk pekerja mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 bagi mengurangkan kesesakan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV).
Beliau berkata, ia berikutan kesesakan yang berlaku di beberapa PPV sejak kebelakangan ini yang mana majoritinya merupakan pekerja warga asing yang hadir secara terus atau ‘walk-in’.
“Ramai pekerja tampil ke depan untuk menerima suntikan vaksin Covid-19, namun majikan perlu mengingatkan mereka supaya mengamalkan SOP yang sepatutnya di PPV dan jangan bersikap lepas tangan.
“Saya yakin vaksin cukup, tapi jangan sampai ketinggalan,” katanya.
Pada Julai lalu, sebanyak 52,000 syarikat di Selangor mendaftar premis mereka di bawah Program Vaksin Selangor (Selvax) Industri untuk memastikan pekerja mereka mendapatkan suntikan vaksin Covid-19.
Rodziah berkata, seramai 89,653 pekerja didaftarkan oleh majikan mereka di bawah inisiatif tersebut untuk mempercepatkan vaksinasi pekerja mereka.