Home Koronavirus LPPKN sedia bantu vaksinasi pelajar

LPPKN sedia bantu vaksinasi pelajar

0
LPPKN sedia bantu vaksinasi pelajar

PARIT – Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) sedia membantu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Kementerian Pendidikan melengkapkan dos vaksin Covid-19 dengan segera kepada pelajar sekolah.

Pengerusi LPPKN, Datuk Mohd Nizar Zakaria berkata, langkah itu selaras dengan pembukaan sesi persekolahan secara bersemuka yang akan tetap dilaksanakan pada 3 Oktober.

Menurutnya, tidak menjadi halangan buat LPPKN membantu memandangkan mempunyai tenaga pakar dan kemudahan bas yang boleh dijadikan klinik bergerak bagi pelaksanaan program outreach vaksinasi di seluruh negara.

“Sekarang ini pun kita telah bersama-sama kerajaan dalam program pemberian vaksin dan setakat ini, jumlah penerima vaksin di bawah program dikendalikan LPPKN mencecah 25,000 orang di seluruh negara.

“Sekiranya KKM berpendapat perlu ada gerakan-gerakan tertentu khusus untuk golongan remaja bawah 18 tahun yang telah diluluskan menerima vaksin, maka sudah tentu kita sedia membantu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada program Belanja Outreach Vaksin Covid-19 di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Parit membabitkan 538 penerima di sini pada Sabtu.

Hadir sama, Pengarah LPPKN Perak, Nurfarhana Lee Mohd Zulkiflee Lee.

Pada Ogos lalu, KKM meluluskan untuk memperluaskan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) dalam kalangan remaja berusia 12 hingga 17 tahun.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, PICK untuk remaja itu dibahagikan kepada dua golongan iaitu kepada individu berusia 12 hingga 15 tahun yang mempunyai masalah kesihatan tertentu serta semua individu berusia 16 dan 17 tahun dengan atau tanpa mempunyai masalah kesihatan tertentu.

Dalam perkembangan sama, Mohd Nizar yang juga Ahli Parlimen Parit berkata, setakat ini hanya satu Klinik Nur Sejahtera di bawah LPPKN di Negeri Sembilan dijadikan sebagai pusat pemberian vaksin (PPV) dan pihaknya belum bercadang untuk menambah PPV berkenaan.

Katanya, pendekatan LPPKN kini lebih kepada program outreach kerana boleh sampai ke kawasan-kawasan tumpuan dan khusus kepada warga emas, orang kurang upaya (OKU), kanak-kanak serta pesakit terlantar yang tidak dapat pergi ke PPV.

“Kita mempunyai 15 bas bergerak dan bersedia membantu di mana-mana tempat diperlukan oleh KKM. Kakitangan kita juga mempunyai kemahiran kerana mereka juga jururawat di Klinik Nur Sejahtera,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here