Home Koronavirus Lima faktor utama Labuan berjaya perangi Covid-19

Lima faktor utama Labuan berjaya perangi Covid-19

0
Lima faktor utama Labuan berjaya perangi Covid-19

LABUAN – Kejayaan Labuan memerangi pandemik Covid-19 sebahagian besarnya disumbangkan oleh lima faktor utama iaitu keberkesanan program vaksinasi, program kawalan kesihatan awam, program intervensi berdasarkan penilaian risiko, selain kerjasama erat orang ramai dan kawalan sempadan yang ketat.

Wilayah Persekutuan itu merekodkan tiada kes baharu Covid-19 pada Sabtu bagi pertama kali sejak ia mencatatkan peningkatan mendadak kes positif dengan penularan varian Delta dari April hingga Julai lepas.

“Penurunan ketara bagi jumlah kes positif dan kematian sejak bulan lalu menunjukkan program vaksinasi telah berkesan dalam meratakan lekuk penularan Covid-19.

“Jumlah kes harian Covid-19 terus menurun ke paras rata sejak beberapa bulan terakhir apabila pulau ini memperluaskan kelayakan vaksin kepada semua orang dewasa, ” kata Pengarah Jabatan Kesihatan Labuan Dr Asmuni Bohari dalam wawancara khas dengan wakil media.

Beliau berkata, jumlah kematian akibat Covid-19 juga menurun sejak minggu kedua Julai, selepas program vaksinasi dijalankan dengan berkesan.

Beliau mendedahkan bahawa Labuan paling teruk dilanda gelombang kedua Covid-19 pada penghujung tahun lalu (dari Oktober 2020 hingga Jun 2021) dan mencatatkan 1,598 kes dalam masa dua bulan (ketika tempoh itu) dengan kematian berlaku setiap hari (termasuk kematian di luar hospital).

“Labuan dilanda lonjakan mendadak dalam kes positif pada 24 April tahun ini apabila kita terpaksa berdepan serangan tidak dijangka varian Delta yang berpunca daripada pekerja asing di sektor berkaitan minyak dan gas,” katanya.

Susulan serangan varian Delta, beliau berkata, jumlah kes aktif menyaksikan peningkatan luar biasa sebanyak 63 kali ganda (pada minggu pertama bulan Jun) dengan jumlah kes harian melebihi 200.

“Ada satu ketika kita merekodkan kes positif sehingga 1,344 kes dalam seminggu. Bagaimanapun, proses vaksinasi berjalan lancar meskipun terdapat peningkat jumlah kes dan munculnya varian Delta.

“Bayangkan, Hospital Labuan hanya mempunyai 122 katil tetapi peningkatan mendadak kes positif sampai ke peringkat kita terpaksa mengubah wad biasa kepada wad Covid-19, membuka lebih banyak pusat kuarantin dan akhirnya mendirikan hospital medan Covid-19,” katanya.

Dr Ismuni berkata, situasi tersebut berjaya ditangani, kemungkinan disebabkan sekatan pergerakan (pada Jun) dan program vaksinasi yang berkesan.

“Ketika ini, kita hanya ada dua kes di unit rawatan rapi (ICU) di hospital, tidak seperti sebelum ini apabila kita terpaksa meminta bantuan oksigen dari tanah besar Sabah berikutan lonjakan bagi kes kategori tiga dan empat daripada lima kategori penyakit itu.

“Pembukaan lebih banyak pusat vaksinasi, iaitu daripada dua kepada sembilan, serta prosedur vaksinasi melalui jumpa terus (walk-in) dan pandu lalu (drive-through) membantu melancarkan dan mempercepatkan program… dan membolehkan masyarakat kembali ke kehidupan yang hampir normal, ” katanya.

Dr Ismuni berkata, Labuan mencapai imuniti kelompok pada 27 Julai lepas yang membawa Wilayah Persekutuan itu beralih ke Fasa Tiga daripada Empat Fasa dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN), adalah hasil kerjasama erat pelbagai agensi kerajaan (termasuk bantuan penyediaan aset dan logistik) serta masyarakat.

“Kerjasama daripada ketua kampung dan Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) dalam menyelaraskan kehadiran beribu penduduk dari 27 kampung dan masyarakat di penempatan pelarian untuk ke pusat vaksinasi juga sangat membantu,” katanya.

Dr Ismuni berkata, kawalan sempadan yang ketat (di sepanjang pantai) oleh agensi penguatkuasaan juga membantu mengekang penyebaran jangkitan Covid-19 dalam komuniti setempat.

“Kita sangat berhati-hati menangani kemasukan pekerja asing (dari sektor perkapalan dan minyak dan gas) ke pulau ini, dengan menguatkuasakan prosedur operasi standard (SOP) perjalanan antara negeri yang ketat.

“Kita tidak harus membenarkan peningkatan kes yang akan menyebabkan kemunculan kluster baharu. Kita mesti kekalkan momentum (kawalan jangkitan Covid-19) ini. Kita tidak harus membiarkan Labuan kembali ke waktu sukar,” katanya.

Sehingga Sabtu, Pasukan Petugas Khas Imunisasi Covid-19 (CITF) Labuan merekodkan 101.39 peratus daripada 69,455 penduduk dewasanya telah menerima dos pertama vaksin dengan turut mengambil kira pendatang asing tanpa izin di pulau itu.

Sejumlah 63,440 (92.61 peratus) daripada 68,500 penduduk yang layak untuk Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) telah lengkap dos kedua. – Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here